Johor cadang tubuh Majlis Digital, program jaminan bekalan makanan

JOHOR BAHRU,. Cadangan penubuhan Majlis Digital Johor dan mewujudkan program jaminan bekalan makanan adalah antara perkara yang dibangkitkan kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui sidang video, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut disertai Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Johor Datuk Mohd Faidzal Hamzah.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Menteri Besar Johor hari ini memaklumkan, pada mesyuarat itu, kerajaan negeri telah menyatakan penubuhan Majlis Digital Johor yang akan menjadi platform utama bagi menyelaras semua bentuk dasar yang berkaitan aplikasi dan infrastruktur digital.

“Johor mengambil serius kepada agenda digital kerana ia adalah agenda masa hadapan. Ini selari dengan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Begitu juga dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan program jaminan bekalan makanan, memandangkan kedudukan strategik antara Johor dan Singapura,” menurut hantaran itu.

Menurut hantaran itu, kerajaan negeri juga berharap agar kementerian yang terlibat dapat bekerjasama dengan Johor agar usaha ini dapat dijayakan dengan lebih teratur dan lancar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )