Johor sasar tambah nilai eskport, kekal antara penyumbang utama – MB

Johor sasar tambah nilai eskport, kekal antara penyumbang utama – MB

JOHOR BAHRU,. Kerajaan Johor akan berusaha untuk menambah nilai eskport, termasuk meningkatkan usaha sedia ada dan konsisten bagi mengekalkan kedudukannya sebagai antara penyumbang terbesar eksport negara pada 2020, kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.

Pada tahun lepas, Johor merupakan pengeksport kedua terbesar melibatkan nilai RM257.67 bilion selepas Pulau Pinang yang menyumbang sebanyak RM288.84 bilion.

Beliau berkata, antara usaha melonjakkan eskport itu adalah menerusi produk-produk utama di negeri itu seperti jentera, kelengkapan pengangkutan, bahan galian, petrokimia, makanan serta Muar Furniture Park (MFP).

Malah, katanya, kerancakan aktiviti perdagangan eksport negeri juga dibantu pintu masuk negara seperti Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Tambak Johor.

“Kita juga ingin menggalakkan lebih ramai pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau pun syarikat-syarikat pertengahan (dapat diwujudkan) bagi meningkatkan eksport produk.

“Ini disebabkan Johor sememangnya memiliki banyak produk manakala Muar Furniture Park pula hampir siap. Oleh itu, kita berharap Johor dapat kekal sebagai antara penyumbang utama eskport produk ke luar negara,” katanya yang menyifatkan usaha konsisten dalam segenap aspek kemajuan ekonomi itu juga penting bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan permintaan pasaran dunia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Eksport Johor 2019 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Sharimahton Mat Saleh, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.

Terdahulu, seramai 200 pemain industri merangkumi PKS dan syarikat pertengahan di negeri ini menyertai program itu yang menyediakan platform untuk para usahawan mendapatkan maklumat terkini berkaitan inisiatif-inisiatif bagi mengembangkan pasaran ke peringkat global.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)