Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji untuk penjawat awam

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji untuk penjawat awam

ISKANDAR PUTERI,. Johor hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan berbentuk sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada kira-kira 13,400 orang penjawat awam dan penjawat awam Persekutuan yang dibayar gaji di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pemberian berkenaan adalah sebagai menghargai jasa penjawat awam dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan.

Menurut beliau, bantuan khas kewangan berkenaan akan turut diterima penjawat awam agensi kerajaan pusat yang dibayar negeri, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta guru Tadika Islam Johor (TAJ).

Beliau berkata bantuan tersebut akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada akhir bulan ini dan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun 2023.

“Mereka (penjawat awam) bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar kerajaan.

“Mudah-mudahan, sumbangan ini dapat memberi motivasi dalam kalangan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, semalam.

Onn Hafiz (BN-Machap) berkata kerajaan negeri prihatin dengan kebajikan penjawat awam dalam memastikan mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, termasuk menyediakan kemudahan pinjaman perumahan yang fleksibel dan tidak membebankan.

Beliau berkata dalam meneruskan kesinambungan kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awam Johor, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif menambah baik struktur pengurusan pinjaman perumahan.

“Kami akan melaksanakan penyerahan permohonan baharu di bawah Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri Johor kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berkuat kuasa Januari 2023.

“Selain meringankan beban kewangan kerajaan negeri, ia juga akan memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam dengan had kelayakan pinjaman yang lebih tinggi dan tempoh maksimum pinjaman sehingga 35 tahun,” tambah beliau.

Selain itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan mengekalkan pinjaman tanpa faedah sebagaimana yang telah dilaksanakan sejak 1 Mac 2014.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)