JPBN gerakkan semua agensi berkaitan atasi jerebu di Sri Aman

JPBN gerakkan semua agensi berkaitan atasi jerebu di Sri Aman

KUCHING,. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) akan menggerakkan semua agensi berkaitan untuk mengatasi masalah jerebu yang melanda Sri Aman pada ketika ini.

Setakat 5 petang tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu telah mencatatkan paras bacaan tahap berbahaya iaitu 407.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBN telah menghubungi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyegerakan kerja-kerja pembenihan awan apabila keadaan atmosfera bersesuaian.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga telah diarahkan untuk menggunakan helikopter bagi membantu kerja-kerja pemadaman api selain mengatur gerakan anggota tambahan di balai bomba berdekatan.

“Kita tahu ada dua titik panas di Sri Aman berikutan kebakaran belukar namun punca sebenar jerebu yang teruk ini datangnya daripada Kalimantan,” katanya yang juga Pengerusi JPBN dalam kenyataan di sini, hari ini.

Esok katanya, JBPN akan mengadakan mesyuarat bagi menangani isu jerebu yang kian teruk melanda kawasan itu.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan memaklumkan, hari ini sejumlah 298 sekolah di lapan daerah di Sarawak telah ditutup berikutan masalah jerebu rentas sempadan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )