Jualan asing meningkat kepada RM637.2 juta

Jualan asing meningkat kepada RM637.2 juta

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Jualan bersih ekuiti tempatan oleh pelabur antarabangsa berjumlah RM637.20 juta pada tempoh 13-16 Julai (Isnin- Khamis), lebih daripada berganda berbanding aliran keluar bersih RM270.01 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata dana antarabangsa mula mengurangkan pendedahan mereka di Bursa Malaysia pada Isnin, walaupun pada kadar sederhana RM77.10 juta.

Pada Selasa, jualan bersih asing meningkat kepada RM220.2 juta yang menyeret turun bursa tempatan ke bawah paras 1,600 mata.

“Selain peningkatan jangkitan kes COVID-19, ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin menegang juga menjadi tumpuan utama.

“Ini susulan langkah pentadbiran Presiden AS Donald Trump menolak tuntutan maritim China di Laut China Selatan, pendekatan berbeza daripada dasar sebelum ini yang tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam pertikaian seperti itu,” katanya kepada Bernama.

Adam berkata pertikaian geopolitik antara AS dan China menjadi semakin buruk pada Rabu apabila Trump mengarahkan status khas Hong Kong ditamatkan dengan Washington dan menandatangani undang-undang yang akan menyekat para pegawai China yang bertanggungjawab ke atas tindakan keras terhadap perbezaan politik di wilayah itu.

Bagaimanapun, pada Rabu, sentimen negatif itu diimbangi sebahagiannya oleh berita kejayaan ujian vaksin COVID-19 oleh syarikat farmaseutikal Moderna Inc, dan jualan bersih asing susut kepada RM207.36 juta pada hari itu.

Sorotan mingguan berlaku pada hari berikutnya apabila Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengenakan sekatan import ke atas dua pengeluar sarung tangan anak syarikat Top Glove Corp Bhd, iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

Berita itu telah mengakibatkan jualan besar-besaran saham Top Glove yang jatuh 9.63 peratus sehingga 3.30 petang apabila Bursa Malaysia menggantung dagangan dalam pasaran tempatan.

Bagaimanapun, amaun ekuiti tempatan yang dijual oleh dana asing terus susut kepada RM132.55 juta pada Khamis.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, prestasi (FBM KLCI) indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI disokong oleh perkembangan positif penemuan vaksin dan kenaikan saham penjagaan kesihatan susulan belian kukuh saham pengeluar sarung tangan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks itu meningkat 4.49 mata untuk ditutup kepada 1,596.33 daripada1,591.84 pada minggu sebelumnya.

Adam berkata berbanding bursa ASEAN lain, iaitu Thailand, Indonesia dan Filipina, Malaysia mencatatkan aliran keluar asing bersih kedua tertinggi setakat ini pada tahun ini sebanyak RM17.44 bilion selepas Thailand.

Beliau menjangkakan pelabur asing mungkin terus mengurangkan pendedahan mereka dalam ekuiti tempatan pada minggu depan sekiranya tiada sebarang perkembangan positif ketegangan geopolitik antara AS-China.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )