Jualan automotif UMW melonjak 20.4 peratus pada Januari
KUALA LUMPUR,. Jualan automotif UMW Group melonjak 20.4 peratus kepada 24,972 unit pada Januari 2022 daripada 20,740 unit yang dijual pada bulan yang sama 2021.
Dalam kenyataan pada Isnin, UMW Group menjelaskan UMW Toyota Motor (UMWT) merekodkan peningkatan jualan hampir dua kali ganda dengan 7,528 unit, iaitu 95.8 peratus lebih tinggi daripada 3,845 unit yang dijual pada Januari tahun lepas.
“Toyota Vios, Hilux dan Yaris terus menjadi model terlaris bagi UMWT pada Januari.
“Bagi memperluas penawaran produknya dalam ruang kenderaan elektrik, UMWT melancarkan Toyota Corolla Cross pada 14 Jan, 2022 iaitu kenderaan elektrik hibrid (HEV) pertama dengan pemasangan tempatan pada platform ‘New Global Architecture’ Toyota (TNGA),” menurutnya.
Ia menambah, syarikat sekutunya, Perodua, mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 17,444 unit pada Januari 2022, meningkat 3.2 peratus daripada 16,895 unit yang dijual pada Januari tahun lepas.
Perodua menyasarkan jumlah jualan kenderaan sebanyak 247,800 unit tahun ini, peningkatan sebanyak 30 peratus daripada 190,291 unit yang dijual pada 2021, jelasnya.
“Perodua merancang untuk meningkatkan pengeluaran kepada 265,900 kenderaan pada tahun ini dan dalam pada itu, akan membeli komponen bersumberkan tempatan bernilai RM7.5 bilion pada 2022 yang akan mengekalkan dan memperkukuh industri automotif tempatan,” menurut UMW Group.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata pihaknya menjangkakan pertumbuhan jualan automotif yang memberangsangkan dalam beberapa bulan akan datang.
“Ini akan disokong oleh pengenalan model baharu yang menarik serta pengecualian cukai jualan,” katanya.
Beliau berkata Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan keseluruhan industri (TIV) meningkat hampir 18 peratus kepada 600,000 unit pada 2022, disokong oleh unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara (KDNK) di antara 5.5 peratus dengan 6.5 peratus bagi tahun ini, sokongan berterusan daripada kerajaan serta peningkatan keyakinan pengguna.
“UMWT dan Perodua akan terus memberikan fokus terhadap langkah memperkenalkan model baharu dan model yang ditambah baik serta menawarkan perkhidmatan selepas jualan terbaik untuk memenuhi keperluan dan harapan pelanggan dalam usaha kami mencapai sasaran pada 2022,” katanya.
— BERNAMA