Juita Mastura, wanita Malaysia pertama miliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional

BATU PAHAT,. Dr Siti Juita Mastura Mohd Saleh menjadi wanita Malaysia pertama memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional atau ‘Remote Pilot License’ (RePL), yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Pe-nerbangan Awam (CASA), Australia.

Pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, yang lulus lesen berkenaan pada Disember 2019, menerima pengiktirafan dari CASA awal tahun ini.

Menurut satu kenyataan dari Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM, Juita, 39, juga mempunyai kepakaran dalam bidang Struktur dan Reka Bentuk Pesawat, khususnya berkaitan ‘Composite Aerostructures’.

Graduan doktor falsafah Kejuruteraan Aeroangkasa dari Cranfield University, United Kingdom itu, bergiat aktif bukan sahaja dalam bidang penyelidikan malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa, khususnya berkaitan teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.

Hasil daripada pengalaman pembangunan dron, beliau bersama-sama penyelidik lain juga pernah menghasilkan satu produk komersial dron pertanian ‘PINEXRI-20’ menerusi projek kolaboratif antara UTHM dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB).

UTHM berkata, beliau akan terus komited untuk meneruskan aktiviti penyelidi-kan dan pembangunan produk aeroangkasa selari dengan hasrat negara untuk memperkasa industri aeroangkasa menjelang 2030.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )