Julang Piala Sultan Azlan Shah ‘hadiah bermakna’ kepada penyokong hoki tanah air
IPOH,. Pengendali skuad hoki kebangsaan A. Arul Selvaraj menyifatkan kejayaan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama sebagai ‘hadiah bermakna’ kepada penyokong hoki tanah air yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad Speedy Tigers.
Arul Selvaraj berkata kejayaan itu juga sentiasa dinanti-nantikan oleh pemain, barisan jurulatih serta pihak pengurusan yang selama ini dahagakan kejuaraan.
“Saya memuji barisan pemain saya dan semua pihak yang bekerja keras selama ini kerana piala ini sudah kita dambakan sejak 39 tahun lalu, dan pemain beraksi sepenuh jiwa.
“Itu sebab sebelum memulakan suku ketiga perlawanan saya pesan kepada pemain supaya bermain mati-matian dan jangan sesekali kita tumpas di hadapan beribu penyokong yang hadir malam ini.
“Mereka berjuang habis-habisan untuk menamatkan badi kekalahan di final,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah itu, Malaysia menewaskan Korea Selatan 3-2 sekali gus menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara.
Malaysia memulakan kempen kejohanan dengan langkah kiri apabila tumpas kepada Korea Selatan 0-3 dan kemudian sekadar seri 1-1 dengan Pakistan pada aksi kedua dalam kejohanan liga sepusingan itu.
Speedy Tigers kemudian membuat kejutan apabila menjinakkan Mesir 4-1 sebelum berpesta gol pada perlawanan keempat menentang Afrika Selatan dengan keputusan 7-2 sebelum menduduki carta kedua liga apabila menumpaskan Jepun 4-2 untuk layak ke final.
Kemenangan pada aksi final itu sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir pada 2014 namun tumbang kepada Australia 8-3.
Kejayaan dilakar skuad kendalian Arul Selvaraj itu juga berjaya membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan yang mengecewakan impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lepas.
— BERNAMA