Julang semangat patriotik dan buktikan diri layak jadi rakyat Malaysia

Julang semangat patriotik dan buktikan diri layak jadi rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR,. Rakyat perlu meniupkan semangat patriotik di dalam diri dengan memberi jasa dan pengorbanan terbaik kepada kemajuan negara sekali gus membuktikan mereka layak menjadi rakyat Malaysia, menurut seorang bekas penasihat undang-undang.

Tan Sri Kamarul Ariffin, 86, berkata rakyat perlu kembali kepada asas pembentukan negara seperti memahami konsep Rukun Negara yang mementingkan semangat kebersamaan dan mengetepikan sikap mementingkan diri sendiri serta ego masing-masing.

“Kita perlu tunjukkan kita ini rakyat Malaysia. Jangan pentingkan diri, ketepikan ego. Letak diri sebagai rakyat Malaysia bukannya saya orang Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan sebagainya. Pentingkan negara terlebih dahulu. Itulah permulaan semangat patriotik,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang kerajaan sewaktu negara dipimpin Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kemudiannya Tun Abdul Razak Hussein itu berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Kamarul Ariffin, yang pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara berkata negara yang telah mengecapi kemerdekaan ini, dahagakan rakyat yang mampu menjulang nama negara ke persada lebih tinggi dan tidak berada di posisi yang selesa sahaja.

“Harumkan nama Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum. Itulah petunjuk wujudnya semangat patriotik dalam hidup kita,” katanya.

Bekas Pengerusi Majlis Pengakap Dunia itu turut berpendapat bahawa hubungan antara kaum, perlu terus dimurnikan agar perasaan menghormati kepercayaan, budaya dan agama masing-masing, terus subur di negara ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Putrajaya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)