Jun Hao azam pamer aksi terbaik di BATC 2024

Jun Hao azam pamer aksi terbaik di BATC 2024

KUALA LUMPUR,. Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao sedia menggunakan kepakarannya dalam acara berpasukan bagi membantu skuad negara pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2024 di Setia Alam, bermula Selasa depan.

Jun Hao yang pernah bersama pasukan negara memenangi BATC 2022 berkata meskipun disenaraikan pada waktu akhir, beliau tidak terkilan sebaliknya tekad memberikan aksi terbaik untuk memastikan Malaysia meraih keputusan positif pada kejohanan itu.

“Apabila dapat peluang bermain (BATC 2024) saya perlu berikan aksi terbaik untuk bantu pasukan negara. Malah, semangat berpasukan kami juga bagus sebab kami semua rapat dan kembara bersama.

“Saya sekarang antara pemain utama dan ia beri sedikit tekanan. Jadi saya perlu lebih bersedia bagi menghadapi kejohanan ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysi(ABM) Bukit Kiara di sini, pada Jumaat.

Jun Hao sebelum ini disenaraikan dalam skuad negara di kejohanan BATC 2024 bersama-sama Lee Zii Jia dan Eogene Ewe, menggantikan Justin Hoh yang digugurkan akibat kecederaan.

Kategori beregu bakal diketuai gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Pada edisi kali ini, Malaysia yang turun sebagai juara bertahan bagi kategori berpasukan lelaki, diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei.

Dalam pada itu, Jun Hao berkata beliau menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini secara sederhana hanya pada esok hari, susulan komitmennya bersama pasukan kebangsaan.

Beliau berkata cuti diberikan itu akan digunakan sebaiknya untuk meluangkan masa bersama keluarga dan saudara mara sebelum turun menjalani latihan pada Ahad.

“Biasanya dapat cuti tiga hari, tetapi tahun ini cuma sehari, hari pertama Tahun Baharu Cina untuk balik rumah keluarga dan saya gembira dapat luahkan masa bersama,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)