Justin Trudeau kembali berkempen, janji turun cukai

Justin Trudeau kembali berkempen, janji turun cukai

MONTREAL,. Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kembali berkempen untuk pemilihan semula dengan janji untuk menurunkan cukai dan sekali lagi memohon maaf berikutan gambar wajahnya yang disolek gelap tular baru-baru ini.

Trudeau, 47 yang tidak pernah reda dari kontroversi berdepan tamparan baru dalam kempen pilihan raya kali ini apabila gambar serta video lama beliau yang disifatkan pembangkang sebagai perkauman muncul semula.

Ketika berkempen di Brampton, Ontario semalam, beliau mengumumkan dua langkah kukuh yang memfokus kepada pengundi kelas pertengahan, sasaran utama partinya, Parti Liberal dan parti pembangkang, Konservatif dalam pilihan raya 21 Oktober ini.

Trudeau berkata, jika dipilih semula, rakyat Kanada kelas pertengahan tidak perlu membayar cukai untuk AS$11,300 (RM47,133) pertama pendapatan yang diperoleh.

Beliau turut berjanji untuk mengurangkan kos pelan telefon mudah yang disifatkannya antara paling mahal dalam kalangan negara G7.

“Dua langkah ini membolehkan rakyat Kanada berjimat sehingga Can$1,500 (RM4,713) setahun,” katanya.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu terus berusaha ke arah kepelbagaian, berusaha untuk mengekang perkauman dan sikap tidak bertoleransi,” katanya ketika menjawab kontroversi terbaru yang melanda beliau.

“Sebagai seorang individu, saya perlu terus berdepan dengan persoalan yang sangat penting membabitkan pilihan saya di masa lalu dan bagaimana saya kembali untuk meraih semula kepercayaan rakyat Kanada yang terluka dengan perbuatan saya.”

Biar terus dilanda kontroversi, tinjauan pendapat mendapati Trudeau tetap menjadi pilihan utama sebagai Perdana Menteri dengan 31.5 peratus berbanding pesaing utama dengan 29.9 peratus. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )