Kadar bayaran haji bagi golongan B40 kekal RM10,980

Kadar bayaran haji bagi golongan B40 kekal RM10,980

KUALA LUMPUR,. Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan bantuan kewangan haji bersasar walaupun kos bagi menunaikan ibadah itu meningkat kepada RM30,850 seorang tahun ini berbanding RM28,632 pada tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi membiayai Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bersasar untuk jemaah haji bagi kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang pertama kali menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata kumpulan B40 akan menerima bantuan HAFIS sejumlah RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada kos haji, manakala kumpulan M40 akan menerima bantuan sejumlah RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada kos haji.

“Pada musim haji tahun ini, kadar bayaran haji untuk jemaah haji Muassasah bagi kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM11,980 seorang. Ia meningkat sebanyak RM 1,000 berbanding tahun lepas.

“Walaupun ada peningkatan kos, namun kerajaan akan menanggung RM1,000 dan bakal haji kumpulan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang, sama dengan kadar tahun lalu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman dan Pengurus Besar Pengurusan Haji TH, Nurrin Anuwar Shamsuddin.

Amrin berkata bagi seorang jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan haji dalam kumpulan M40, bayaran haji meningkat sebanyak RM3,000 kepada RM15,980 seorang, sementara bagi kumpulan berpendapatan tinggi (T20) mereka perlu menanggung kos haji sepenuhnya sebanyak RM30,850 seorang.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan TH akan mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaaah haji bagi tahun 2023 bermula Rabu ini.

“Bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

“Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, dikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023,” katanya.

Katanya, bagi rayuan haji di luar giliran, jemaah perlu membayar kos penuh iaitu RM30,850 seorang, melainkan bagi individu yang membuat rayuan mahram atau bagi pembantu kepada jemaah yang berusia.

Katanya, setakat ini 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan menunggu giliran untuk menuaikan rukun Islam kelima berkenaan. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)