Kadar inflasi rendah sedia banyak ruang turunkan OPR

Kadar inflasi rendah sedia banyak ruang turunkan OPR

KUALA LUMPUR,. Kadar purata inflasi rendah pada 0.5 peratus bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini menyediakan banyak ruang untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) pada masa hadapan.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi rendah antara Januari dan Ogos tahun ini adalah disebabkan oleh sub indeks pengangkutan yang rendah, turun 3.6 peratus.

“Kebarangkalian bagi penurunan 25 mata asas semakin tinggi memandangkan peningkatan keadaan tidak menentu luaran,” katanya kepada Bernama.

Begitu juga, RHB Research percaya penurunan sekali lagi OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka dapat menyokong pertumbuhan memandangkan keadaan berhati-hati dan risiko pertumbuhan perlahan ketika ini berikutan situasi perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin menegang.

Kali terakhir BNM mengurangkan kadarnya sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus adalah pada Mei 2019 dan bank pusat memutuskan untuk mengekalkan paras itu semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 12 Sept.

“Ini mungkin akan berlaku pada suku keempat 2019 atau dalam suku pertama 2020, dan BNM akan menunggu kajian semula FTSE Russell pada akhir September sebelum mengambil langkah seterusnya,” kata RHB Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata ia mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan pada 0.9 peratus bagi 2019 sebelum meningkat kepada 2.00 peratus pada 2020.

“Kemungkinan apungan semula harga minyak RON95 — sebaik sahaja subsidi bahan api bersasar dilaksanakan — akan memberkan tekanan menaik ke atas inflasi,” kata firma itu.

Sementara itu, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan tahun penuh 2019 pada 0.8 peratus, sementara menunggu pelaksanaan skim subsidi bahan api bersasar dan harga minyak mentah Brent kembali stabil.

Bank tersebut dalam nota penyelidikannya berkata minyak mentah Brent berada pada US$63 setong hari ini selepas meningkat hampir 15 peratus kepada US$69 setong susulan kebimbangan terhadap bekalan Arab Saudi selepas serangan dron pada 14 Sept.

“Justeru, kami mengunjurkan purata inflasi tinggi pada 2.5 peratus tahun depan,” kata UOB Malaysia.

Menurut bank itu, pelaksanaan inisiatif subsidi bahan api bersasar baharu mungkin menyaksikan had harga bagi petrol RON95 dan diesel ditarik semula sebaik sahaja skim itu dilaksanakan.

“Kesan jerebu ke atas sesetengah bekalan makanan seperti sayuran dan makanan laut tidak dijangka memberi kesan besar ke atas inflasi September,” kata bank itu.

Selain itu, ia menjangka BNM tidak akan tergesa-gesa membuat pelarasan kadar seterusnya meskipun petanda kelemahan dalam pertumbuhan global.

“Kesan daripada penurunan OPR pada Mei dijangka mengambil masa tiga hingga empat suku.

“Lagipun, kami menjangkakan Belanjawan 2020 yang akan datang akan memasukkan langkah-langkah pengembangan bagi menyokong ekonomi domestik,” kata bank itu sambil menambah ini akan mengurangkan tekanan ke atas BNM untuk membuat satu lagi penurunan kadar tahun ini.

UOB Malaysia berkata panduan berasaskan kepada kenyataan dasar monetari September menyokong bahawa BNM mungkin mengambil langkah mengekalkan kadar tidak berubah pada mesyuarat akan datang pada 5 Nov, mesyuarat dasar monetari terakhir bagi 2019.

Pada Ogos, inflasi keseluruhan meningkat 1.5 peratus, menyamai jangkaan bank itu dan pasaran.

Peningkatan inflasi itu didorong terutamanya oleh makanan mewah, barang kemas, serta produk dan perkhidmatan perubatan, yang mengimbangi kesan harga petrol tinggi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )