Kadar panggilan terputus turun hingga 74 peratus – Fahmi

Kadar panggilan terputus turun hingga 74 peratus – Fahmi

PUTRAJAYA,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merekodkan kadar penurunan panggilan terputus untuk setiap rangkaian mudah alih 4G antara 10 hingga 74 peratus, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kejayaan menurunkan kadar panggilan terputus itu didorong oleh usaha pengendali rangkaian mudah alih 4G dalam mengoptimumkan rangkaian mereka.

Selain itu, katanya ia juga adalah hasil usaha Digital Nasional Berhad (DNB) mengaktifkan fungsi ‘Call Reestablishment’ (CRE) untuk liputan LTE700 dalam rangkaian 5G bermula 21 hingga 29 Dis lepas untuk kesemua tapak 5G di seluruh negara.

“Saya difahamkan, satu pertemuan antara MCMC dengan pihak pengendali rangkaian mudah alih dan DNB telah diadakan pada 14 Dis lepas bagi membincangkan masalah panggilan terputus dalam rangkaian mudah alih.

“Susulan daripada pertemuan itu, satu bengkel telah dianjurkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini,” kata Fahmi dalam sidang media berhubung Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Kementerian Komunikasi, di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Fahmi dan Timbalannya, Teo Nie Ching dibawa menaiki bas dari Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya bagi melihat dan meneliti sendiri kualiti panggilan telefon bimbit sama ada memuaskan atau sebaliknya.

Ujian itu dibuat dengan tujuan menguji capaian rangkaian yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia dalam menangani isu berkenaan yang menjadi rungutan beberapa pihak sebelum ini.

Fahmi berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan yang sering kali dibangkitkan oleh pengguna dan mahu ia ditangani segera demi kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tempoh antara 1 Jan 2023 hingga 13 Dis 2023, hasil pengauditan yang dijalankan oleh MCMC menunjukkan sebanyak 1,837 panggilan terputus telah direkodkan termasuk kes yang berlaku di luar kawasan liputan.

Beliau berkata, berdasarkan ujian pada hari ini, laporan analisis menunjukkan tiada panggilan terputus direkodkan sepanjang perjalanan kira-kira 45 minit itu.

“Saya ingin menekankan di sini bahawa ujian yang dibuat ialah Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular dan bukannya panggilan menggunakan Internet,” katanya.

Fahmi berkata, MCMC akan terus memantau isu itu sepanjang suku pertama tahun ini dan melaporkan semula kepada beliau berhubung perkara tersebut dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, katanya, selain isu panggilan terputus, hal berkaitan liputan kesalinghubungan 5G seluruh negara khususnya di institut pengajian tinggi (IPT) turut menjadi keutamaan kementeriannya pada masa hadapan.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada semua syarikat telekomunikasi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi meneliti perkara berkenaan, termasuk untuk menyegerakan penyelesaian terhadap isu liputan luar, liputan dalam bangunan atau liputan Wifi dihadapi pelajar.

Turut serta dalam sesi ujian itu ialah Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan pengurusan kanan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile (TM Tech) dan Yes (YTL Communication).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)