Kadar pengangguran di Filipina meningkat 8.9 peratus pada September

Kadar pengangguran di Filipina meningkat 8.9 peratus pada September

MANILA,. Kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Filipina meningkat pada September iaitu sebanyak 4.25 juta berbanding 3.88 juta pada bulan sebelumnya, menurut laporan tinjauan Pihak Berkuasa Perangkaan Filipina (PSA) yang dikeluarkan pada Khamis.

Menerusi taklimat secara dalam talian, ketua PSA Dennis Mapa berkata peratusan pengangguran pada September ialah 8.9 peratus yang tertinggi dicatatkan sejak Januari tahun ini, lapor Agensi Berita Xinhua.

Pihak Berkuasa Ekonomi dan Pembangunan Negara berkata pengangguran negara meningkat pada September disebabkan sekatan kuarantin COVID-19 dan sektor pertanian yang terjejas akibat masalah cuaca.

Kadar penyertaan tenaga buruh negara juga menurun sedikit daripada 63.6 peratus kepada 63.3 peratus dalam tempoh yang sama.

Setiausaha Perancangan Sosioekonomi Karl Kendrick Chua berkata kehilangan pekerjaan yang paling banyak adalah melibatkan sektor pertanian.

“Taufan telah menjejaskan kira-kira 30,000 hektar tanah pertanian di pulau Luzon dan di tengah Filipina, menyumbang kepada kira-kira 900,000 kehilangan pekerjaan dalam sektor tersebut.

Secara keseluruhan, Chua berkata ekonomi telah menjana 1.1 juta pekerjaan melebihi paras pra-pandemik sekali gus menandakan pemulihan berterusan Filipina, kata Chua.

Chua berkata kadar pengangguran diramal menunjukkan penurunan pada Oktober.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)