Kamarudin hadiri mesyuarat maya Jawatankuasa Eksekutif OIC

Kamarudin hadiri mesyuarat maya Jawatankuasa Eksekutif OIC

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Mesyuarat Maya Tergempar Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata mesyuarat peringkat Menteri Luar berlangsung pada pukul 7.00 malam waktu Malaysia, bagi membincangkan isu ancaman Israel untuk merampas sebahagian daripada tanah rakyat Palestin.

“Mesyuarat itu dipanggil oleh negara Palestin, dan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, selaras dengan kedudukannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif OIC, Putera Faisal bin Farhan Al Saud,” menurutnya.

Beliau berkata mesyuarat itu dijangka akan merumuskan satu resolusi bagi menggambarkan pendirian bersama OIC berhubung isu berkenaan.

Kamarudin berkata Malaysia merupakan penyokong kuat dalam isu Palestin serta perjuangannya, dan mengulangi kecaman serta penolakkan terhadap tindakan unilateral serta tidak sah Israel, dan menggesa komuniti antarabangsa untuk berdiri teguh, bersatu, bersama dengan rakyat Palestin dalam menangani keganasan Israel.

Menurutnya Malaysia kekal yakin terhadap OIC dalam memainkan peanan penting menyokong perjuangan Palestin bagi menamatkan pendudukan di wilayah Palestin sejak 1967.

Malaysia berpandangan bahawa rancangan Israel bagi merampas tanah Palestin itu jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, terutama Konvensyen Keempat Geneva 1949, dan juga Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, terutama Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2334 (2016).

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )