Kamarul Ariffin dilantik sebagai pengerusi Fullrich Malaysia

Kamarul Ariffin dilantik sebagai pengerusi Fullrich Malaysia

KUALA LUMPUR,. Fullrich Malaysia Sdn Bhd (Fullrich Malaysia) mengumumkan pelantikan Kamarul Ariffin Mohd Jamil sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa 1 Jun 2020.

Beliau menggantikan Sun Jian Wei yang telah berkhidmat sejak 2017.

“Kami percaya dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan luas terutamanya dalam bidang perbankan dan industri kewangan, Kamarul Ariffin mampu membantu membimbing Fullrich Malaysia melalui berbagai cabaran dan mencapai hasrat syarikat untuk menjadi antara 10 syarikat teknologi kewangan (fintech) teratas di Malaysia menjelang tahun 2025.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan semua kakitangan Fullrich Malaysia, kami mengalu-alukan pelantikan Kamarul Ariffin sebagai pengerusi baharu,” kata Fullrich Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Ariffin merupakan individu yang tidak asing dalam industri kewangan dan perbankan. Beliau merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Bhd dari Januari 2006 hingga April 2015 sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Affin Holdings Berhad sehingga Mac 2020.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dari University of Cambridge dan mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun dalam arena kewangan, perbankan dan korporat.

“Sementara itu, syarikat mengucapkan terima kasih kepada Sun Jian Wei, beliau telah berkhidmat sebagai pengerusi sejak kami memulakan perniagaan kami pada tahun 2017. Kepemimpinan, bimbingan, pengetahuan, nasihat, dan komitmennya sangat bermanfaat bagi kita semua,” katanya.

Di bawah pimpinan Sun JianWei, syarikat itu telah berjaya melancarkan dua aplikasi e-wallet, TaPay, dan MSU Mobile.

Fullrich Malaysia yakin bahawa kepakaran Kamarul yang luas dan rekod prestasi yang kuat akan menjadikan Fullrich Malaysia berkembang pesat, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)