Kampung Agong lokasi ekopelancongan baharu, bangkit nostalgia kehidupan kampung Melayu tradisi

Kampung Agong lokasi ekopelancongan baharu, bangkit nostalgia kehidupan kampung Melayu tradisi

KEPALA BATAS, 5 Dis — Dikelilingi dengan pagar buluh, ratusan pohon kelapa, reka bentuk rumah tradisional dan suasana ala kampung, Kampung Agong yang terletak di Penaga, di sini mampu membangkitkan nostalgia kehidupan kampung masyarakat Melayu.

Dengan keluasan 15 hektar, Kampung Agong kini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk berfoto dengan berlatar belakangkan panorama desa selain merasai sendiri suasana kampung tradisi biarpun baru sahaja beroperasi enam bulan lepas.

Penyelia kawasan itu, Ang Ee Zhan, 17, berkata nama Kampung Agong diberi bersempena dengan nama jolokan yang diberikan orang kampung kepada datuknya, Ang Peng Tiam, 84, iaitu ‘Agong’ kerana beliau mempunyai sebidang tanah yang luas, kebun kelapa dan sawah padi.


“Dahulu, sini adalah kebun kelapa datuk saya sejak dari tahun 1942. Dari kecil, memang saya ikut datuk kait nyoq (kelapa) dan jual kepada pemborong, hasil padi pun kami jual kepada pemborong. Pada satu hari, kami terfikir nak buat rumah penginapan di sini sebab kawasan sekitar dan suasana memang ‘syok’.

“Kami kemudiannya bina satu rumah penginapan di sini pada Jun tahun lepas dengan mengenakan sewa RM100 satu malam. Pada masa ini Kampung Agong tidak dibuka kepada orang ramai, hanya untuk penyewa yang mahu duduk di rumah penginapan sahaja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Agong, di sini.

Bagaimanapun, Ang berkata perkhidmatan rumah penginapan itu terpaksa dihentikan selepas kawasan itu mula dibuka kepada orang awam kerana penyewa sukar mendapat privasi setelah Kampung Agong semakin dikenali dan menerima ramai pengunjung dalam satu-satu masa berikutan lokasi itu menjadi tular dalam media sosial.

Situasi itu menjadi perangsang kepada Ang dan ayahnya, Ang Teow Chua, 48, untuk menaiktaraf dan menambah kemudahan serta tarikan yang sesuai dibangunkan di Kampung Agong.

Beliau berkata orang ramai kini bukan sahaja boleh berfoto malah mereka boleh menjalankan pelbagai aktiviti kampung antaranya berbasikal, mengutip kelapa, memancing, bermain congkak dan belajar meraut pelepah kelapa untuk dibuat lidi serta menyewa pakaian tradisional untuk lebih menghayati suasana kampung di sini.

“Di Kampung Agong kami ada hampir 500 batang pokok kelapa. Pengunjung boleh kait sendiri buah-buahan yang ada di kampung ini seperti buah bacang, cempedak, jambu air, pisang durian dan limau purut mengikut musim. Di sini juga ada sarang burung tempua, burung wak-wak dan burung helang yang dibuat dari sarang burung asli.

“Saya dan bapa kutip sarang-sarang yang jatuh dan buat sarang burung gergasi untuk orang ramai bergambar. Selain sarang burung, kami juga bina pelantar dan monumen untuk bergambar. Ini semua diinspirasikan dari Bali, Indonesia,” katanya.

Ang berkata pihaknya kini banyak menjalankan projek penambahbaikan di kawasan itu demi kepuasan pengunjung termasuk membina sembilan buah rumah penginapan yang sedang dibangunkan untuk memenuhi permintaan pengunjung yang ingin bermalam di kawasan itu dan dijangka siap pada awal tahun hadapan bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020.

Biarpun baru berusia 17 tahun, Ang yang juga anak kedua dari tiga beradik itu bercita-cita untuk membangunkan kampung berkenaan sebagai lokasi ekopelancongan terkenal dan beliau akan memilih bidang pengurusan dan pelancongan sekiranya berpeluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau boleh kita mahu promosi ekopelancongan di sini. Untuk jangka masa panjang, kita rancang beli bot dan bawa pengunjung dari Batu Ferringhi ke sini dan tunjukkan kepada mereka hutan paya bakau. Kemudian mereka boleh naik bot di jeti Sungai Penaga dan berpeluang melihat kehidupan orang kampung sebagai nelayan, bawa mereka ke Pasar Bisik dan lain-lain.

“Kita mahu orang kampung pun terlibat, bukan sahaja untuk promosi Kampung Agong sahaja. Dalam masa terdekat, kita juga akan beri satu ruang kepada orang kampung untuk berniaga makanan dan minuman, tetapi hanya untuk orang kampung sahaja, bukan orang luar supaya orang kampung boleh buat duit (melalui) ekopelancongan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui Bernama, Aliaa Nabilah Muhammad Sharul Azam, 23, berkata beliau dan keluarga teruja dengan kewujudan lokasi tarikan pelancong seperti Kampung Agong kerana ia mempromosikan salah satu warisan masyarakat.

“Macam di Pulau Pinang ini, pembangunan semakin pesat jadi dengan adanya tempat macam ini, pelancong ada macam-macam pilihan apabila melancong di sini. Macam saya sekarang ini pertama kali belajar meraut lidi, amalan orang dulu-dulu. Dalam melancong, dapat juga belajar sesuatu yang baharu,” katanya.

Kampung Agong dibuka setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 6.00 petang dengan bayaran tiket dikenakan sebanyak RM3 untuk kanak-kanak berumur empat hingga 11 tahun, kanak-kanak 12 tahun dan dewasa (RM5) serta warga asing (RM10) manakala bayi yang berusia bawah tiga tahun kemasukan adalah percuma.

— BERNAMA

Oleh Alia Siti Khadijah Azhar

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )