Kampung Tasik dilanda banjir kilat selepas hujan lebat dan ribut

Kampung Tasik dilanda banjir kilat selepas hujan lebat dan ribut

IPOH,. Hujan lebat dan angin ribut selama sejam bermula 5 petang Selasa menyebabkan kejadian banjir kilat di Kampung Tasik, Pengkalan Hulu yang terletak kira-kira 170 kilometer dari sini.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, lima rumah penduduk serta sebuah bengkel kereta turut mengalami kerosakan apabila atap rumah diterbangkan angin ribut selain dihempap pokok tumbang.
“Tujuh anggota APM dikerahkan ke lokasi bagi kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang di beberapa kawasan dan memantau keadaan penduduk di kawasan yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Beliau berkata tiada pusat pemindahan yang dibuka kerana seramai 17 penghuni rumah yang terjejas terdiri daripada lima keluarga berpindah ke rumah saudara mereka yang terletak berhampiran.
Katanya banjir di kawasan itu telah surut sepenuhnya pada 8 malam tadi dan tiada mangsa yang cedera mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)