Kampus UiTM Sungai Buloh rai Hari Raya Aidilfitri 2023

Kampus UiTM Sungai Buloh rai Hari Raya Aidilfitri 2023

SUNGAI BULOH,. Suasana dan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri masih terus dirasai dan dirai walaupun telah menghampiri ke penghujung bulan Syawal.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh tidak terkecuali di mana Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bertemakan ‘Salam Perantauan’ telah dijayakan dengan kerjasama Pejabat Penolong Rektor Kampus Sungai Buloh dan Selayang, Fakulti Perubatan, dan Fakulti Pergigian.

Majlis yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang itu bukan sahaja melibatkan para staf dan pelajar Kampus Sungai Buloh dan Selayang, tetapi turut dihadiri Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Cawangan Selangor dan Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM.

Pelbagai agensi kerajaan juga diundang ke majlis tersebut seperti Ketua Zon 1 Shah Alam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pengarah Hospital Selayang dan Pengarah Hospital Sungai Buloh.

Majlis itu meraikan seramai hampir 1,200 pelajar perubatan dan pergigian yang berada di kampus Sungai Buloh dan Selayang.

Pelbagai juadah hari raya dihidangkan di reruai yang selari dengan tema ‘Salam Perantauan’ untuk dinikmati seperti lemang, rendang, nasi impit, kuah kacang, lontong dan kuih-muih.

Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian secara solo dan berkumpulan daripada pelajar dan juga warga kampus sepanjang majlis berlangsung.

Majlis diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang Reruai Tercantik dan Pakaian Tercantik bagi menghargai usaha warga dan jemputan yang hadir dalam memeriahkan acara tersebut.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )