Kanada buka kembali sempadan kepada pelancong luar negara

Kanada buka kembali sempadan kepada pelancong luar negara

TRENTON (Kanada): Kanada mengalu-alukan ketibaan pelancong asing melalui laluan udara berikutan sekatan perjalanan akibat COVID-19 dilonggarkan pada Selasa. Pelancong yang berhasrat mengelak daripada menjalani kuarantin perlu lengkap dua dos vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya 14 hari sebelum ketibaan dan negatif ujian saringan COVID-19 dalam tempoh tiga hari, menurut Agensi Anadolu.

Pelancong juga perlu menggunakan aplikasi ArriveCan yang memaparkan maklumat perjalanan di telefon pintar mereka, atau memberi maklumat berkaitan menerusi portal laman web.

Presiden cawangan pelancongan Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada, Denis Vinette berkata peraturan baharu ini memudahkan pegawai memastikan pelancong memenuhi syarat ditetapkan sebelum menaiki pesawat.

Pengembara perlu lengkap satu daripada vaksin COVID-19 yang disenaraikan kerajaan Kanada iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna, Oxford-AstraZeneca atau vaksin dos tunggal keluaran Johnson and Johnson.

Kanada merekodkan 73,962 kes dan korban seramai 394 sejak 28 hari lalu, menurut statistik dikeluarkan Universiti Johns Hopkins.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)