Kanada: Trudeau mungkin campur tangan dalam isu pengharaman memakai simbol keagamaan

Kanada: Trudeau mungkin campur tangan dalam isu pengharaman memakai simbol keagamaan

TRENTON,. Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Jumaat berkaata ia bersedia untuk campur tangan dalam isu larangan baharu Quebec berhubung pemakaian simbol keagamaan jika tindakan perundangan ketika ini di mahkamah bagi mencabar perkara itu gagal memansuhkannya, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Ini merupakan kali pertama perdana menteri itu berkata beliau akan mempertimbang langkah untuk campur tangan dalam isu membabitkan undang-undang baharu yang melarang pemakaian lambang keagamaan seperti hijab, salib dan turban oleh kebanyakan penjawat awam ketika bekerja termasuk guru, polis dan pemandu bas.

Bagaimanapun, memandangkan isu itu telah dibawa ke mahkamah, Trudeau berkata untuk campur tangan sekarang adalah sesuatu yang tidak produktif.

Trudeau dan Parti Liberal yang memerintah perlu memenangi pilihan raya persekutuan pada 21 Okt jika beliau berhasrat untuk campur tangan dalam isu itu.

Pemimpin parti persekutuan termasuk Trudeau mengetahui bahawa undang-undang itu popular di Quebec di mana ia diluluskan. Semua pihak berharap untuk memenangi undi di Quebec.

Bagaimanapun tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Kanada yang menetap di luar wilayah itu menentang pengharaman tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu diskriminasi.

Pengkritik berkata ia telah menyasarkan wanita Islam secara tidak adil. Trudeau berkata sebelum undang-undang itu berkuat kuasa pada Jun bahawa kerajaan tidak patut campur tangan dalam isu rakyat berpakaian.

Media Kanada telah melaporkan sebelum ini bahawa dua wanita telah dinafikan pekerjaan di sebuah pusat jagaan apabila mereka enggan menanggalkan hijab ketika bekerja.

Majlis Kebangsaan Islam Kanada dan sebuah kumpulan hak asasi manusia telah memfailkan satu permohonan bagi mencabar undang-undang itu atas alasan ia akan menjejaskan golongan minoriti dari segi keagamaan.

Sementara itu, pemimpin Parti Konservatif Andrew Scheer berkata jika beliau dipilih, beliau tidak akan mencabar undang-undang tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)