KASA beri keutamaan isu kurangkan risiko banjir di Sabah – Dr Ahmad Masrizal

KASA beri keutamaan isu kurangkan risiko banjir di Sabah – Dr Ahmad Masrizal

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi keutamaan dan perhatian yang khusus terhadap isu mengurangkan risiko kejadian banjir melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sabah. Selain itu, Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, kementeriannya juga berusaha menaiktaraf sistem pembetungan, menaiktaraf loji rawatan air termasuk sistem agihan saluran air dan projek mengurangkan risiko hakisan pantai.

Jelasnya, ia merupakan empat isu utama yang diberi perhatian khusus di negeri itu. Bagi mengatasi masalah banjir di negeri Sabah secara keseluruhan, Kerajaan telah meluluskan sebanyak 16 projek tebatan banjir dan satu projek saliran mesra alam dengan kos sebanyak RM827.94 juta yang dilaksanakan di bawah KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam RMK-11.
“Manakala dalam RMK-12, JPS telah merangka permohonan projek baharu bagi negeri Sabah sebanyak 12 projek dengan jumlah kos sebanyak RM482 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Dr. Ahmad Masrizal mengadakan lawatan kerja ke Projek RTB Sg. Tebongon (Kg. Teguli), Putatan, Sabah yang dilaksanakan JPS.Jelasnya, sistem perparitan lama yang tidak efisien mengakibatkan kampung dan jalan raya di Kg. Ulu Putatan, Kg. Teguli, Kg. Tebongon dan kawasan komersial Platinum Plaza sering ditenggelami air sedalam 0.5 hingga 1.0 meter.
“Kekerapan banjir kilat berlaku tidak kurang daripada lima kali setahun setiap kali hujan lebat turun di kawasan berkenaan.

“Projek RTB Sg. Tebongon (Kg. Teguli), Putatan, Sabah telah bermula pada 15 Ogos 2019 dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan melibatkan kos projek sebanyak RM18.1 juta.
“Skop bagi projek ini ialah membina parit konkrit sepanjang 1.75 kilometer dan pembinaan pembetung jalan,” ujarnya.

Tambahnya, objektif projek itu adalah untuk mengurangkan keluasan kawasan yang terjejas akibat banjir di sekitar kawasan Kg. Teguli, Kg Tebongon dan Kg. Ulu Putatan serta mengurangkan kerosakan harta benda penduduk akibat daripada kejadian banjir kilat.

Jelasnya, projek itu dijangka memberi manfaat kepada seramai lebih kurang 3,000 orang penduduk.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir, Ir Tengku Abdul Rahman Tengku Azam dan Koordinator Projek Usaha Impresif Sdn. Bhd., Md Nor Abdul Rahman.

-Awani /DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)