
Kastam tumpas penyeludupan tembakau kunyah bernilai hampir RM1 juta
SEREMBAN,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan penyeludupan tembakau kunyah dengan jumlah nilai sitaan termasuk cukai dianggarkan RM997,632.19 pada 1 Mac.
Pengarahnya Muhammad Queek Abdullah berkata sitaan pada 11.45 pagi, dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri susulan maklumat berhubung sebuah kontena dari India di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor membuat pengikraran tidak benar terhadap dagangan dalam dokumen senarai muatan yang memerlukan permit import.
Pemeriksaan kontena itu menemukan 72 kotak atau 174.89 kilogram (kg) tembakau dan 318 kotak atau 2,862kg pan masala tembakau kunyah dengan anggaran nilai RM581,786.
“Tembakau kunyah merupakan barang larangan import dengan pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran 66 Bahagian 1 Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Kesemua barang kes bersama kontena disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut. Kita mengesyaki tembakau kunyah itu, untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM negeri di sini hari ini.
Muhammad Queek berkata seorang ejen perkapalan tempatan berusia 40-an ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a) akta sama.
Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan, yang menyebabkan ketirisan hasil serta mendatangkan ancaman keselamatan negara.
–BERNAMA