Kawal selia perkhidmatan awan lindungi data pengguna

Kawal selia perkhidmatan awan lindungi data pengguna

KUALA LUMPUR,. Kawal selia ringan ke atas perkhidmatan awan di Malaysia mulai 1 Januari tahun depan adalah bagi memberi perlindungan data kepada pengguna dan agensi berkaitan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata terdapat kebimbangan berkenaan keselamatan data susulan peningkatan penggunaan perkhidmatan itu dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

“Pendekatan kawal selia ini akan memastikan pihak penyedia perkhidmatan awan mengekalkan tahap keselamatan data, privasi data, perlindungan data dan aliran data pengguna pada tahap yang tinggi,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC berkata kawal selia tersebut dilakukan menerusi kaedah pelesenan supaya pihaknya mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan standard teknikal yang dapat dihasilkan bersama pemain industri.

“Pengenaan apa-apa syarat untuk mematuhi standard tersebut hanya dapat dicapai melalui pendekatan pelesenan. Ini akan memastikan amalan terbaik digunakan penyedia perkhidmatan awan,” menurut MCMC.

Mengulas lanjut, MCMC berkata pihaknya mengguna pakai polisi ‘tiada pengurangan’ (no worse off policy) di dalam merangka kaedah pelesenan yang bersesuaian untuk perkhidmatan awan.

“Ini bermakna, aktiviti-aktiviti yang ketika ini dikecualikan di bawah kerangka pelesenan sedia ada akan kekal dikecualikan,” menurut MCMC.

Jelas suruhanjaya itu, perkhidmatan awan akan dilesenkan di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) yang dirangka khusus untuk memberikan akses pasaran yang mudah dan mendorong pertumbuhan industri.

Menurut agensi itu, semua syarikat penyedia perkhidmatan awan yang mempunyai kehadiran tempatan atau melalui pusat data di Malaysia, dikehendaki mendaftar di bawah lesen berkenaan secara tahunan.

Bagi tujuan kawal selia pula, MCMC telah mendefinisikan perkhidmatan awan sebagai sebarang perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna akhir berdasarkan permintaan melalui Internet daripada pelayan penyedia pengkomputeran awan.

“Penyediaan aktiviti-aktiviti berlesen tanpa lesen adalah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Penyedia perkhidmatan adalah dinasihatkan untuk mendapatkan lesen-lesen yang berkaitan sebelum memulakan operasi mereka,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut layari laman web MCMC di www.mcmc.gov.my. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)