Kawalan keselamatan, COVID-19 diperketat di Beijing menjelang Kongres CPC

Kawalan keselamatan, COVID-19 diperketat di Beijing menjelang Kongres CPC

BEIJING,. Langkah keselamatan dan kawalan COVID-19 kini dipertingkat terutama di Beijing, menjelang perhimpunan politik terpenting di China – Kongres Kebangsaan Parti Komunis China (CPC) ke-20.

Perhimpunan politik selama seminggu yang diadakan setiap lima tahun sekali itu akan berlangsung di Great Hall of the People yang luas di Dataran Tiananmen, mulai 16 Okt.

Penulis, yang berada di Beijing sejak Julai, akan membuat liputan perhimpunan itu yang bakal mengetengahkan pelan tindakan CPC untuk tempoh lima tahun akan datang dan melepasinya – tempoh penting dalam merealisasikan pemulihan semula negara.

Penulis mendapati semakin banyak anggota polis ditempatkan di jalan raya, selain sedikit ‘gangguan’ dalam sistem pengangkutan, memandangkan langkah keselamatan sangat penting dalam memastikan perhimpunan penting ini berjalan lancar.

Antara kawasan yang dikawal ketat adalah kemudahan kerajaan berdekatan Dataran Tiananmen, selain kawasan kejiranan, kawasan pelancongan, pasar dan jalan Wangfujing, Sanlitun dan Qianmen.

Beberapa stesen kereta api bawah tanah juga telah ditutup sejak beberapa minggu lepas, terutama di kawasan penting berhampiran bangunan kerajaan atau tempat orang ramai berkumpul seperti di Qianmen, Tiananmen East dan Tiananmen West.

Ada pengguna yang terpaksa turun di stesen kereta api bawah tanah terdekat dan menunggang basikal, berjalan kaki atau menaiki teksi ke destinasi terakhir mereka.

Di stesen bas, kereta api dan metro Beijing, polis dan anggota keselamatan juga melaksanakan prosedur pemeriksaan keselamatan tambahan yang ketat.

Bagi langkah-langkah pencegahan COVID-19, walaupun keputusan ujian COVID-19 selama 72 jam diperlukan untuk sesiapa sahaja berada di kawasan awam, banyak tempat pada masa ini mensyaratkan keputusan ujian dalam tempoh 24 jam. Jika rekod sistem Kit Kesihatan seseorang menunjukkan mereka telah melawat tempat berisiko, mereka akan diminta untuk menjalani ujian setiap hari selama tiga hari berturut-turut.

Kongres akan dijalankan secara tertutup, dengan perwakilan dihadkan berada di hotel, tempat penginapan dan tempat kongres sahaja, dan tidak boleh bertemu orang luar.

Pada Kongres CPC itu, Presiden Xi Jinping dijangka memgekalkan jawatan itu buat penggal ketiga, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin China yang paling berkuasa sejak Mao Zedong.

Seramai 2,296 perwakilan dipilih untuk menghadiri kongres tersebut. Selain menetapkan matlamat dasar negara, kongres itu akan memilih Jawatankuasa Pusat CPC baharu, kepimpinan tertinggi parti dan Suruhanjaya Pusat CPC baharu bagi Kawalan Disiplin.

Sementara itu, pemeriksaan ketat juga dilakukan ke atas wartawan yang memasuki pusat akhbar Kongres CPC di Hotel Nikko New Century Beijing, yang dibuka secara rasmi pada Rabu bagi menyediakan perkhidmatan kepada wartawan yang membuat liputan kongres.

Mereka yang telah pergi ke kawasan berisiko sederhana atau tinggi atau kawasan yang terdapat kes penularan tempatan atau kontek rapat kes COVID-19 atau kes tanpa gejala dalam tempoh 10 hari sebelum pendaftaran, tidak boleh membuat liputan, atau perlu menjalani pemeriksaan lanjut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )