KBS belum terima laporan peletakan jawatan Zaki

KBS belum terima laporan peletakan jawatan Zaki

KUALA LUMPUR,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum menerima sebarang laporan rasmi daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung peletakan jawatan bekas ketua jurulatih negara, Zaki Sadri, hujung bulan lepas.

Menterinya Hannah Yeoh berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu berkenaan memandangkan belum lagi menerima maklumat terperinci kemelut terbaharu melanda KOM itu.

“Hal itu mereka kena selesai dulu di peringkat persatuan (KOM) buat masa ini, saya belum dipanggil buat apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program KBS x KL Car Free Morning di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Zaki yang juga bekas jaguh lompat kijang negara meletak jawatan susulan kesukaran mendapat kepercayaan daripada pegawai dalam badan induk itu untuk melakukan perubahan dalam skuad olahraga negara.

Dalam pada itu, Hannah berkata program KBS x KL Car Free Morning yang julung kali diadakan dengan jalinan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku penganjur utama acara itu akan berlangsung secara bulanan pada setiap Ahad minggu keempat dengan mengekalkan pengisian aktiviti utama seperti berbasikal, larian dan berjalan kaki.

“Edisi KBS juga akan mengetengahkan aktiviti utama ini dengan pelbagai tema pakaian yang dijangka menjadi tarikan utama pada edisi-edisi akan datang.

“Antara kelainan yang akan ditampilkan dalam edisi KBS nanti ialah kepelbagaian aktiviti sampingan seperti slot mari mencuba sukan-sukan baharu dan sukan teras, aktiviti kecergasan, sukan ekstrem, push bike, penampilan personaliti sukan termasuk atlet-atlet sukan para dan seumpamanya,” katanya.

Beliau juga berharap agar model kerjasama KBS dengan DBKL ini akan diperluas sehingga peringkat negeri-negeri lain melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan pihak berkuasa tempatan negeri masing-masing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )