KBS komited bantu pemain industri terjejas akibat PKPB

KBS komited bantu pemain industri terjejas akibat PKPB

KUALA LUMPUR,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited membantu pemain industri sukan yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bermula hari ini sehingga 27 Okt ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata larangan melakukan aktiviti sukan dalam dewan hanya bersifat sementara dengan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan kontak fizikal boleh dijalankan di tempat terbuka secara individu dan sehingga maksimum 10 orang pada satu-satu masa.

Beliau menegaskan larangan melakukan aktiviti sukan kontak dan sukan berpasukan seperti bola sepak, futsal dan lain-lain sukan di dalam dewan tertutup perlu dilaksanakan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

KBS dalam kenyataan semalam memaklumkan, penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang, pusat rekreasi dan sebagainya dalam negeri dan kawasan PKPB, diminta untuk menangguh dan menjadualkan semula semua aktiviti sukan dan rekreasi masing-masing susulan pelaksanaan PKPB.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )