KDN akan keluarkan surat pendaftaran parti Muda

HULU LANGAT,. Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan surat pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa pemimpin parti.

“Saya tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah, kita akan keluarkan surat pendaftaran untuk Muda,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada tinjauan itu ialah Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali serta Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Pada 14 Dis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Menteri Dalam Negeri mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar MUDA sebagai sebuah parti politik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )