KDN teliti laporan polis terhadap golongan antivaksin sebelum ambil tindakan

LARUT,. Kementerian Dalam Negeri akan meneliti laporan polis yang dibuat terhadap golongan antivaksin sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya sedang mengenal pasti seksyen dan akta bersesuaian yang boleh dikuatkuasakan terhadap golongan itu.

“Kalau kita tengok dia ada langgar sesuatu maka kita akan ambil tindakan dan sebagai seorang menteri yang jaga undang-undang yang ada, kita akan tengok dulu laporan polis yang diberikan kepada kita dalam seksyen mana, apa perkara yang telah mereka lakukan kesalahan, kemudian saya akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Kotak Makanan Serta Ramah Mesra Bersama Penduduk di Kampung Sungai Ara, Batu Kurau hari ini.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan akta khas akan diwujud bagi menangani tindakan golongan antivaksin, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.

Semalam, Kementerian Kesihatan dilapor telah membuat beberapa laporan polis terhadap golongan itu yang didakwa menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin, menerusi ciapan di laman Twitter rasmi beliau, berharap tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan kerana kumpulan antivaksin terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )