Keadaan penyakit berkaitan NCD antara punca utama kematian ibu bersalin

Keadaan penyakit berkaitan NCD antara punca utama kematian ibu bersalin

KUALA LUMPUR,. Keadaan kesihatan berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) dikenal pasti sebagai antara punca utama menyumbang kepada kadar kematian ibu bersalin di Malaysia, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, satu kajian yang dijalankan dari 2019 hingga 2021 merekodkan kadar kematian ibu bersalin tertinggi bagi purata tiga tahun, kebanyakannya disebabkan oleh keadaan perubatan berkaitan NCD dan pendarahan selepas bersalin.

“Antara ibu dengan keadaan perubatan berkaitan, lebih 50 peratus kematian adalah disebabkan oleh penyakit jantung.

“Selain itu, obesiti adalah faktor risiko utama dikenal pasti antara kematian ibu bersalin berpunca daripada salur darah paru-paru tersumbat selepas pembedahan Caesarean,” katanya pada Kongres Perubatan Malaysia Singapura ke-56 sempena Kongres Antarabangsa MyWomen 2023, di sini, pada Jumaat.

Dr Zaliha berkata, bagi mengurangkan kadar kematian ibu bersalin, Kementerian Kesihatan telah memperkukuh Penjagaan Pra Kehamilan (PPK) dan penilaian risiko Thrombosis Vena Dalam (DVT) serta memberi preskripsi thromboprophylaxis kepada wanita hamil.

Selain itu, beliau berkata, setakat Jun, 105,789 individu telah menjalani saringan kesihatan di fasiliti KKM di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan, iaitu setahun selepas program itu dilancarkan pada Julai tahun lepas.

Katanya, apa yang menarik ialah daripada jumlah itu, 58,441 atau 55.24 peratus adalah wanita, justeru menunjukkan kaum hawa kini lebih mengambil berat aspek kesihatan mereka.

“Bilangan wanita untuk setiap negeri yang telah menjalani saringan melebihi 50 peratus dengan Selangor mempunyai kadar saringan tertinggi (61.9 peratus) manakala Pulau Pinang paling rendah pada 55.5 peratus,” tambahnya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)