Kebenaran kempen di RTM buka ruang lebih luas promosi calon PRN Melaka – Wanita PN

ALOR GAJAH,. Kebenaran menyiarkan poster dan biodata calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan memberi ruang lebih luas kepada calon bertanding mempromosi diri mereka kepada pengundi.

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ruang di RTM itu merupakan medium tambahan kepada calon-calon PRN Melaka untuk memperkenalkan diri kepada pengundi selain menerusi media sosial.

“Alhamdulillah kita tahu dalam keadaan PRN Melaka ketika ini ada beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang sebelum ini tidak pernah dikenakan kerana kita masih lagi berhadapan penularan COVID-19.

“Namun nenerusi medium RTM, ia akan menjadi satu daripada saluran mempromosikan calon dan mengetengahkan idea mereka supaya dapat membantu para pengundi membuat penilaian dan keputusan apabila mengundi pada 20 Nov nanti,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan di Bilik Gerakan PN Tanjong Bidara di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan kerajaan membenarkan RTM untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka bermula esok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata penyiaran poster dan biodata calon itu akan dialu-alukan sekerap mungkin, adil dan saksama berikutan SOP yang ketat pada PRN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata enam calon wanita yang diketengahkan PN pada PRN Melaka berpotensi untuk mendapat mandat pengundi bukan sahaja kerana kredibiliti calon tetapi juga disebabkan misi dan visi calon untuk pengundi.

“Mereka yang diketengahkan ini memang kita kenal sebagai individu yang telah bekerja dan menyumbang menerusi aktiviti kemasyarakatan dengan membantu sesiapa sahaja tanpa membezakan antara kaum, ideologi politik dan sebagainya.

Lima calon wanita dari PN ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanjung Bidara), Azalina Abdul Rahman (Rim) dan Dr Nordina Abdul Latif (Ayer Limau) dari Bersatu manakala calon dari Gerakan ialah Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir) dan Fong Khai Ling (Kota Laksamana) serta Aziah Mohd Sa’ad (Kuala Linggi) dari PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )