Kebenaran operasi sektor pelancongan domestik, bantu pulih ekonomi negara – Nancy Shukri

Kebenaran operasi sektor pelancongan domestik, bantu pulih ekonomi negara – Nancy Shukri

KUALA LUMPUR,. Kebenaran sektor pelancongan domestik beroperasi mulai Rabu ini tepat pada masanya untuk membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, dalam kenyataan selepas perutusan khas Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, berkata, pengumuman itu selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri.


“Langkah ini amat bertepatan pada masanya kerana sektor pelancongan berupaya membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi. Ini adalah kerana sektor pelancongan adalah sektor yang melibatkan subsektor ekonomi lain seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan, pengusaha makanan di restoran dan gerai serta pemandu pelancong.

“Namun, pada masa sama, aktiviti ini perlu dijalankan dengan rasa tanggungjawab dan mengamalkan kebiasaan baharu serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan hari ini, kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik namun pintu sempadan negara masih lagi ditutup semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Ogos ini.


Menyambut baik pengumuman itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun, berkata ia mampu meningkat permintaan pengguna khususnya sektor pengangkutan dan makanan, sekali gus membantu pengusaha industri kecil dan sederhana yang sebelum ini terjejas akibat kesan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Ekesekutif, Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, berkata kebenarakan melakukan perjalanan rentas negeri dalam tempoh PKPP memberi sinar bagi pemain industri pelancongan yang begitu terkesan akibat pandemik COVID-19.


Jelasnya, pemain industri pelancongan di pulau bebas cukai ini sudah bersedia untuk menerima kemasukan pengunjung dengan pematuhan SOP PKPP diberi keutamaan.

“Pengusaha pelancongan amat gembira pengumuman tadi, ini memberi sinar untuk industri pelancongan bergerak dengan jayanya, tambahan pula ketika ini hampir semua hotel di Langkawi telah menyediakan pakej menarik kepada pelancong,” katanya.

Presiden Persatuan Bas Pelancong Kuala Lumpur dan Selangor (Baspel), Noraizam Abdul Kadir, berkata penekanan SOP yang sangat ketat perlu dilaksanakan untuk meraih kembali kepercayaan masyarakat melancong khususnya menggunakan kenderaan yang memuatkan jumlah orang yang ramai.

“Untuk permulaan ini, saranan kita pada operator ialah mereka mungkin boleh meletakkan had kuota muatan bas sebagai langkah untuk memberi jarak selamat kepada pelancong di samping masing-masing menjaga kebersihan sepanjang menggunakan kenderaan,” katanya

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)