Kedah, JDT tempah tiket suku akhir Piala Malaysia
KUALA LUMPUR,. Juara lima kali, Kedah dan juara 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tiket suku akhir Piala Malaysia selepas meraih kemenangan di tempat lawan pada aksi kelima malam ini.
Pada aksi Kumpulan A, Kedah meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Skuad Lang Merah membuka tirai jaringan seawal minit ketiga perlawanan menerusi pemain import dari Argentina, Jonatan Bauman yang menanduk masuk bola berpunca hasil sepak percuma kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, sebelum kapten pasukan TFC, Lee Andrew Tuck menyamakan kedudukan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32.
Pemain import dari Brazil, Renan Alves kembali meletakkan Kedah di hadapan pada minit ke-37 menerusi percubaan di dalam kotak penalti, namun TFC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff, sebelum Baddrol meledak gol kemenangan untuk Kedah pada minit ke-86.
Terdahulu, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Hafizal Mohamad dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain import Kedah, Edgar Berhardt pada minit ke-90.
Sementara itu, juara tiga kali, Negeri Sembilan kembali menghidupkan peluang ke suku akhir setelah mengejutkan wakil Liga Super, PKNS FC 3-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Shah Alam.
Tiga gol skuad Rusa dijaringkan oleh Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-41 dan minit ke-56, serta gol pemain import dari Brazil, Matheus Fernandes Vila Real pada minit ke-90.
PKNS FC berjaya meraih gol saguhati hasil sepakan penalti oleh Kpah Sean Sherman pada penghujung babak pertama perlawanan.
Pasukan tuan rumah sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Muhammad Asraf Roslan dikenakan kad merah apabila mengasari pemain lawan pada penghujung babak perlawanan.
Dalam aksi Kumpulan B, JDT menang tipis 3-2 ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Tiga gol skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-24 serta dua gol Muhammad Syafiq Ahmad (minit ke-37 dan minit ke-60), manakala dua gol PJ City FC dihasilkan Bae Beom-geun pada minit ke-10 dan Washington Brandao pada minit ke-58.
PKNP FC pula menghidupkan peluang untuk memburu slot suku akhir Piala Malaysia setelah melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Pemain import dari Brazil, Giancarlo Rodrigues muncul wira pasukan tuan rumah setelah meledak jaringan hatrik pada minit ke-11, minit ke-85 dan minit ke-88, selain gol daripada Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-65.
— BERNAMA