Kedah pintas Perak di Liga Super 2020

Kedah pintas Perak di Liga Super 2020

KUALA LUMPUR,. Pasukan Kedah mencerahkan peluang mereka menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok teratas selepas menewaskan Sabah 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Kemenangan ketiga berturut-turut pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak sejak saingan liga kembali bersambung itu membolehkan skuad Lang Merah memintas Perak dengan kelebihan dua mata untuk menduduki tangga kedua liga selepas mengumpul 16 mata.

Pada aksi malam ini, Kedah terpaksa bekerja keras kerana Sabah juga mengejar tiga mata demi menyelamatkan pasukan daripada zon penyingkiran.

Kedah membuka jaringan pada minit ke-26 selepas pemain import dari Liberia, Kpah Sherman menanduk masuk hantaran lintang Kipre Tchetche sebelum Sabah menyamakan kedudukan menerusi rembatan pemain kacukan Thailand-Jerman, Dennis Buschening seminit kemudian.

Memasuki babak kedua perlawanan, Kedah memperoleh gol kedua pada minit ke-70 menerusi Tchetche sebelum Fayadh Zulkifli Amin meletakkan Kedah di kedudukan selesa 3-1, lima minit kemudian.

Aksi Kedah dan Sabah sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Sabtu lepas, terpaksa ditunda susulan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar sehingga Jumaat ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )