Kekuatan Bersatu Kedah tidak akan terjejas walau ada ahli keluar parti

SUNGAI PETANI,. Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, yakin kekuatan parti itu tidak akan terjejas walaupun terdapat segelintir ahlinya mengambil tindakan keluar parti.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata ia berikutan jumlah yang keluar parti adalah kurang 30 peratus daripada 45,000 ahlinya di negeri ini.

“Angka ini tidak membimbangkan sebab ada yang hantar borang baharu untuk jadi ahli Bersatu. Kita masih positif dengan keadaan ini, saya pantau dari minggu ke minggu di bahagian, tengok berapa yang keluar,” katanya pada sidang media dekat sini, malam ini.

Beliau berkata kebanyakan ahli yang bertindak keluar parti itu juga adalah dipercayai kerana gagal mendapat jawatan dalam parti.

“Apabila saya melihat angka yang keluar parti ini di bahagian-bahagian saya mendapati mereka ini merajuk dan kecewa akibat (kalah) dalam pertandingan parti,” dakwanya.

Sementara itu, Mohd Suhaimi berkata pihaknya bersyukur kerana hampir 1,000 perwakilan Armada dan Srikandi Bersatu Kedah menghadiri persidangan di sembilan bahagian untuk melaksanakan tanggungjawab memilih pimpinan sayap masing-masing di peringkat pusat pada 15 dan 16 Ogos lepas.

Katanya jumlah itu menunjukkan Bersatu Kedah masih kekal kukuh dan setia bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan tanggungjawab bagi membawa wadah perjuangan memperkasakan bangsa Melayu dan bumiputera serta agama Islam.

Selepas sidang media terbabit, Mohd Suhaimi turut menerima 253 borang keahlian baharu untuk menyertai Bersatu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )