Kelab enggan lepas pemain untuk beraksi di Kemboja – O’Donell

Kelab enggan lepas pemain untuk beraksi di Kemboja – O’Donell

KUALA LUMPUR,. Skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) yang beraksi di Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-23 di Phnom Penh, Kemboja merupakan sebuah pasukan campuran daripada kumpulan 50 pemain di dalam kategori umur dikenal pasti oleh ketua jurulatih pasukan Brad Maloney sepanjang 2021.

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Scott O’Donell berkata oleh kerana pengaturan masa kejohanan itu, adalah dipersetujui objektif pasukan adalah untuk memilih sejumlah pemain yang tidak pernah diberi peluang untuk bermain di sesebuah kejohanan antarabangsa.

“Kami mengambil kira bahawa kebanyakan pemain daripada kategori umur yang beraksi dalam pasukan Liga Super dan Liga Premier tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing kerana kejohanan itu adalah di luar jendela FIFA,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

O’Donell berkata daripada skuad yang mara ke Kejohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 di Uzbekhistan Jun depan berikutan kejayaan mereka dalam pusingan kelayakan Oktober lepas, Maloney memilih sejumlah pemain kesebelasan utama termasuk Harith Haiqal Adam Afkar, Azrin Afiq Rusmini dan Nur Azfar Fikri Azhar.

Kumpulan 50 pemain yang dikenal pasti termasuk pemain pilihan utama seperti Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Ramadhan Saifullah, Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Nathaniel Shio Hong Wan, Azri Abdul Ghani dan Rahadiazli Rahalim.

Bagaimanapun, O’Donell berkata pemain muda yang masih ada untuk pemilihan ke Uzbekhistan bergantung kepada perbincangan lanjut Maloney dengan Ketua Jurulatih Skuad Senior Kim Pan Gon yang akan membimbing Harimau Malaya ke pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Menurut beliau daripada nama yang disebutkan sebelum ini, Arif Aiman, Luqman, Mukhairi, Ramadhan dan Akhyar merupakan pemain skuad senior yang beraksi di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama ketika membuat penilaian ke atas penyingkiran skuad negara daripada kejohanan itu berikutan dua kekalahan di Laos dalam peringkat kumpulan, O’Donell berkata pasukan itu menguasai permainan dalam perlawanan pertama tetapi hilang tumpuan di kawasan padang berhampiran gawang lawan.

“Oleh kerana itu adalah penting untuk menguji pemain di peringkat antarabangsa dan keadaan COVID-19 tidak banyak membantu,” katanya.

Untuk rekod, skuad B-23 negara tewas 0-2 kepada Laos di dalam perlawanan akhir Kumpulan B di Stadium Morodok Techo malam semalam dan gagal melayakkan diri ke separuh akhir.

Ia merupakan kemenangan kedua Laos ke atas Malaysia dalam peringkat kumpulan dengan mengutip tiga mara dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan pembukaan di Stadium Prince, Jumaat lepas.

Perlawanan Kumpulan B hanya melibatkan Malaysia dan Laos selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri daripada kejohanan itu berikutan jangkitan COVID-19 pada pasukan mereka dan hanya tiga juara kumpulan dengan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)