Kelab Kecil Berdepan Risiko Tinggi – Hodak

Kelab Kecil Berdepan Risiko Tinggi – Hodak

KUALA LUMPUR,. Bekas pengendali Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) Bojan Hodak menjangkakan kelab-kelab kecil berisiko bankrap jika liga ditangguhkan melebihi tiga bulan.

Pengendali dari Croatia itu, yang pernah membimbing skuad bawah 19 tahun negara dan kini bersama kelab Indonesia PSM Makassar, percaya walaupun saingan bersambung selepas berakhirnya krisis akibat pandemik COVID-19, ia memerlukan enam sehingga 12 bulan untuk industri kembali ke landasan sebelumnya.

Banyak kelab di seluruh dunia turut bergelut. Juara tujuh kali Slovakia, Zilina muflis selepas meminta pemain-pemainya memotong 80 peratus gaji mereka. Ia adalah kelab Eropah pertama dibubarkan sepanjang pandemik COVID-19.

Di A-League Australia, bekas juara Asia Western Sydney Wanderers menyertai Newcastle Jets, Adelaide United, Central Coast Mariners dan Perth Glory dalam menamatkan kontrak pemain dan kakitangan susulan krisis ini.

Liga Perdana Inggeris pula menyaksikan kelab-kelab mahu pemain mereka menerima pelan pemotongan gaji manakala di La Liga, Bundesliga, Serie A dan Ligue sudah melaksanakannya.

“Semua kelab akan menerima akibatnya jika tiada bola sepak lebih daripada tiga bulan kerana mereka akan kehilangan duit tiket, penajaan dan hak penyiaran.

“Bola sepak tidak akan sama seperti sebelum COVID-19 walaupun pandemik itu berakhir. Kelab-kelab memerlukan enam sehingga 12 bulan untuk mengukuhkan kembali kewangan.

“Kelab-kelab besar mempunyai aset dan boleh membuat pinjaman untuk terus hidup, tetapi saya tidak pasti bagaimana kelab kecil mampu bertahan. Bank tidak akan memberi pinjaman kepada kelab kecil,” kata Hodak.

Hodak turut menjangkakan liga-liga utama Asia seperti Liga Korea, Liga Jepun dan Liga Super China mampu bertahan kerana mereka mempunyai dana besar dan bantuan daripada penganjur liga.

“Bagaimanapun saya risau tentang liga-liga di Asia Tenggara (termasuk Liga Malaysia). Beberapa kelab bergantung sepenuhnya atau sebahagian kepada dana daripada kerajaan negeri atau agensi.

“Saya percaya dana-dana ini, pada awalnya disimpan untuk kelab-kelab, kini digunakan untuk menangani COVID-19.

“Masalah akan bertambah besar jika kelab-kelab ini tidak mempunyai banyak penaja. Lebih parah lagi jika mereka sudah mempunyai hutang. Pemain-pemain akan menderita,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )