Kelab Rotary iktiraf jasa Dr Noor Hisham dengan Anugerah Paul Harris Fellow

KUALA LUMPUR,. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah malam ini diberi satu lagi pengiktirafan atas sumbangan besar beliau dalam memerangi COVID-19.

Dr Noor Hisham dipilih sebagai penerima anugerah Paul Harris Fellow, pengiktirafan tertinggi diberikan oleh Kelab Rotary kepada individu yang banyak menyumbang jasa untuk tujuan baik.

Anugerah itu disampaikan kepada beliau pada majlis Pemasyhuran Presiden dan Gala Kutipan Dana Tahunan Ke-93 Kelab Rotary Kuala Lumpur Diraja (RCKL) di sini, malam ini oleh presiden kelab itu yang baru dimasyhurkan Prabagaran Vythilingam.

“Anugerah ini sebagai tanda penghargaan, pengorbanan dan komitmen ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan dalam mendepani pandemik global yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mereka telah memenangi hati dan minda negara,” kata Dr Noor Hisham dalam ucapannya semasa menerima anugerah itu.

Antara tokoh terkemuka yang telah dipilih sebagai penerima anugerah Paul Harris Fellow ialah Presiden Amerika Syarikat Ke-39 Jimmy Carter (James Earl Carter, Jr.), angkasawan James Lovell, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Javier Perez de Cuellar dan pencipta vaksin polio Jonas Salk.

Diwujudkan pada 1957, anugerah itu bagi mengiktiraf individu yang telah memberi sumbangan besar dan menyokong usaha dermawan seperti imunisasi kanak-kanak daripada polio dan menyediakan air bersih ke kawasan miskin di seluruh dunia.

Kementerian Kesihatan turut diberi pengiktirafan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Rotary manakala RCKL Diraja dipilih sebagai penerima anugerah The Brand Laureate International Premier Award 2020 bagi kepimpinan dalam perkhidmatan kemasyarakatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )