Kelantan Anjur Madinah Ramadan, Sasar 100,000 Pengunjung Sepanjang Bulan Puasa

Kelantan Anjur Madinah Ramadan, Sasar 100,000 Pengunjung Sepanjang Bulan Puasa

KOTA BHARU, 19 Februari 2025 – Madinah Ramadan yang bakal diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV dijangka menerima lebih 100,000 pengunjung sepanjang bulan Ramadan, menjadikannya salah satu acara utama di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah, berkata acara ini menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung dengan pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk majlis berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah, yang akan diimamkan oleh Syeikh Mohammed Sobhy Gomaa Elsheikh dan Syeikh Ayman Adel Mostafa Abdelhafeez Mohamed dari Mesir.

“Tahun ini, Madinah Ramadan dianjurkan dengan tema ‘Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam’, yang turut menampilkan elemen muzium bagi mengetengahkan sejarah dan budaya Kelantan. Lokasi acara ini juga boleh menampung sehingga 1,500 jemaah dalam satu masa,” katanya.

Persiapan penganjuran kini berada pada tahap 70 peratus, dengan kerja-kerja mendirikan khemah, menyusun tapak program, serta menyediakan kemudahan asas sedang dilakukan. Program ini disokong dengan peruntukan RM1.8 juta bagi memastikan kelancarannya.

Bagi memastikan kebersihan terjaga, pasukan khas pembersihan akan ditempatkan bagi mengawal pengurusan sampah dan kebersihan tapak acara.

“Kami berharap para peniaga bazar mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran mereka dan memastikan makanan yang dijual selamat untuk dimakan tanpa dipanaskan semula,” tambahnya.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )