Kelantan, Kuala Lumpur, Johor catat bacaan IPU tidak sihat

Kelantan, Kuala Lumpur, Johor catat bacaan IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR,. Beberapa kawasan di Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Berdasarkan laman sesawang sistem pengurusan indeks pencemaran udara (APIMS), Segamat, Johor mencatatkan bacaan status kualiti udara tidak sihat IPU 152 setakat 4 petang ini.

Cheras, Kuala Lumpur juga Kota Bharu dan Tanah Merah, Kelantan masing-masing mencatatkan bacaan IPU 106, 107 dan 104 setakat 4 petang semalam.

IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51 ke 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 ke 300 (sangat tidak sihat) serta 300 dan ke atas (berbahaya).

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menerusi satu klip video yang dimuat naik dalam akaun TikToknya menunjukkan keadaan bangunan di Sekijang yang hampir tidak kelihatan dengan jarak penglihatan kurang daripada 200 meter.

“Beberapa hari kebelakangan ini kita mendengar berita negara dilanda jerebu di beberapa kawasan sahaja dan di antara kawasan yang terlibat yang terkesan teruk adalah di kawasan saya sendiri iaitu di Sekijang, Segamat,” katanya.

Beliau berkongsi bacaan IPU tidak sihat antara 145 ke 150 setakat semalam dan menasihat orang ramai di kawasan terjejas supaya berhati-hati di dalam melakukan aktiviti luar.

Dr Zaliha berkata jerebu mengandungi partikel daripada asap dan habuk yang berisiko kepada kesihatan jika memasuki saluran pernafasan dengan banyak.

“Jerebu ini sebenarnya tidak baik untuk kesihatan dan boleh menyebabkan penyakit seperti radang mata, hidung gatal, sakit tekak, batuk, selesema dan kegatalan kulit.

Kesan jangka panjang juga boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai terutamanya kanak-kanak yang menghidap penyakit lelah supaya duduk di rumah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)