Kelantan rancang kempen vaksinasi besar-besaran

Kelantan rancang kempen vaksinasi besar-besaran

KOTA BHARU,. Kerajaan negeri Kelantan merancang untuk mengadakan kempen suntikan vaksin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara besar-besaran menerusi Program Outreach Vaksinasi Daerah (POVD) di kawasan titik panas jangkitan (hot spot) bermula pertengahan Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Hussin berkata, menerusi POVD, pihaknya akan mengunjungi kampung-kampung terpilih untuk mengumpulkan senarai nama penduduk secara manual, melibatkan semua golongan sama ada yang sudah mendaftar atau belum dalam sistem MySejahtera.

“POVD merupakan program bersasar di bawah Ketua Jajahan. Setakat ini lokasi pertama yang dicadangkan ialah Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) Kota Bharu, diikuti kampung-kampung lain yang dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ COVID-19.

“Setelah lokasi itu dikenal pasti mempunyai kes yang tinggi, pihak kami akan hadir ke situ dan memanggil penduduk, seterusnya akan memberikan dos pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) Jajahan Kota Bharu, di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Jajahan Kota Bharu Rosnazli Mohd Amin dan Setiausaha MDK-PI Ahmad Fadzli Abdullah.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata bagi melancarkan kempen berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Ketua Jajahan dengan dibantu penggawa serta penghulu akan mempersiapkan prasarana supaya program POVD berjaya dilaksanakan.

“Kami berharap rakyat akan menerima secara baik program ini, apabila suntikan vaksin sudah mencapai sasaran 80 peratus, yang mana mereka akan mendapat imuniti, sekali gus membolehkan semua sektor seperti ekonomi dan pendidikan boleh dibuka seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Dr Izani meminta rakyat Kelantan yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin agar segera berbuat demikian melalui saluran yang disediakan pihak berkuasa bagi mempercepatkan usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )