Keluarga banduan hukuman mati di Singapura masih berharap, sedia terima kenyataan

Keluarga banduan hukuman mati di Singapura masih berharap, sedia terima kenyataan

KUALA LUMPUR,. Sejak adiknya dipenjarakan di Singapura hampir 10 tahun lalu, hanya dua kali Sangkari Pranthaman dapat memegang tangan adiknya itu.

Kali pertama begitu meruntun perasaannya apabila dia mendapat tahu mahkamah mendapati adiknya, Pannir Selvam Pranthaman bersalah dan menjatuhkan hukuman mati pada tahun 2017 kerana mengedar 51.84 gram heroin.

“Saya pegang erat tangan adik saya. Saya beritahu dia, apa pun, kami akan cuba yang terbaik,” katanya.

Kali kedua, keadaannya agak berbeza dan dia berasa lega dan gembira apabila Mahkamah Rayuan Singapura pada 23 Mei 2019 menangguhkan pelaksanaan hukuman mati, iaitu sehari sebelum hukuman berkenaan sepatutnya dijalankan.

Bernama berkesempatan bertemu dengan Sangkari dan adiknya Angelia di kediaman mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Angelia mendakap album foto, dipenuhi dengan gambar yang menyimpan pelbagai kenangan sejak zaman kanak-kanak mereka.

Jelas mereka tidak dapat menahan rasa sedih mengenangkan Pannir Selvam, 36, akhirnya akan menjalani hukuman kerana sejak pandemik COVID-19 berakhir, Singapura mula meningkatkan pelaksanaan hukuman mati bagi pesalah dadah.

Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman mati untuk tempoh dua tahun akibat pandemik COVID-19 tetapi menyambung semula tindakan berkenaan pada bulan Mac 2022.

Pada tahun lepas (2022), seramai 11 orang, semuanya pesalah dadah menjalani hukuman mati.

Perayaan Krismas tahun ini mungkin yang terakhir buat Pannir kerana hampir tiada lagi langkah perundangan yang boleh diusahakan dan kemungkinan hukuman matinya akan dijalankan pada tahun baharu 2024.

Menyedari kemungkinan ini, Sangkari, yang senang dipanggil Shan dan Angelia tidak dapat menahan rasa pilu, air mata mula bergenang.

Banyak kisah dikongsikan dengan Bernama tentang Pannir, zaman ketika mereka kecil serta igauan ngeri yang sedang mereka alami dan masih menghantui kehidupan mereka.

“Malahan selepas surat tentang hukuman mati itu dikeluarkan (pada tahun 2019), ketika lawatan seminggu itu, kami tidak dapat memeluk atau menyentuh abang … atau bawa makanan yang kami masak,” kata Angelia, menambah kari daging kambing adalah kegemaran abangnya.

Untuk keluarga seperti keluarga dua beradik ini, nasib yang menimpa Pannir menjadikan keluarga mereka lebih rapat, dan menghargai dua ketika dapat melihat Pannir, yang hayatnya mungkin berakhir tidak lama lagi.

GEMBIRA DALAM DERITA

Dalam surat yang ditulis kepada keluarganya sewaktu dalam penjara, Pannir Selvam antaranya mengimbau kenangan membesar di Ipoh, Perak.

Kehidupan mereka bahagia (ayah dan ibu serta lima beradik) meskipun tidak senang, terutama selepas ayah mereka berhenti kerja sebagai pemandu lori dan menjadi pastor.

Kehidupan mereka banyak bergantung kepada elaun ayah mereka sebanyak RM1,000 sebulan yang diberikan pihak gereja.
Untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga, Pannir bekerja ketika cuti sekolah.

Menyifatkan ayahnya seorang yang tegas, dia menulis bagaimana pergerakan mereka sering diawasi untuk menjaga nama baik serta kedudukan ayahnya di gereja.

“Memandangkan ayah ahli penting gereja, semua mata akan memandang kepada kami, apa yang kami buat dan cakap,” dia menulis dalam surat berkenaan.

Pannir Selvam Pranthaman,

Mungkin kerana pengalaman ini serta desakan hidup dan keperluan membantu keluarganya, yang mendorong dia membuat keputusan ke Singapura untuk bekerja pada tahun 2010.

Jauh untuk belajar berdikari namun mudah untuk kembali jika ada kecemasan. Untuk berjimat, dia tinggal di Johor Bahru dan berulang-alik ke Singapura dan jika perlu, bermalam di kediaman yang disediakan syarikat.

Menurut Shan, Pannir banyak menyepi diri ketika bekerja di Singapura, tidak menghubungi mereka sehingalah mereka menghubunginya.

“Sepuluh tahun lepas, kami semua masih kecil. Pannir juga masih muda jadi dia tidak selalu menelefon keluarga. Namun sesekali, kami yang akan menelefon dia dan bercakap dengan dia,” katanya.

Ketika hidup bersendirian itu, Pannir dilaporkan menghabiskan masa berjudi dan minum arak di tempat perjudian berhampiran pangsapurinya di Johor Bahru.

Di situlah, menurut dua beradik ini, seorang pengedar dadah yang namanya Anand mula merapati Pannir.

“Lebih mudah untuk memanipulasi seseorang yang bujang dan tiada keluarga terdekat tinggal dengannya. Jika ada seseorang dengannya dan menjaganya, mungkin sukar untuk dipengaruh,” kata Shan.

Pada suatu petang 4 Sept 2014, pegawai di Pusat Pemeriksaan Woodlands menahan Pannir dan menemui peket heroin, yang beratnya 51.84gram.

Anand didakwa meminta Pannir menghantarnya kepada seseorang bernama Jimmy. Di bawah undang-undang Singapura, menyeludup lebih daripada 15gram heroin adalah satu kesalahan besar.

Pannir Selvam memberitahu pegawai berkenaan, dia menyangka bahan itu adalah afrodisiak.
Menurut dokumen mahkamah, itu bukan kali pertama dia membawa ‘bahan’ berkenaan untuk Jimmy, dan sebelum ini melakukannya sebanyak tiga kali.
Pannir Selvam kemudiannya ditahan reman dan dihantar ke penjara, sehinggalah sekarang.

Keluarganya hanya mengetahui nasib yang menimpa Pannir, dua minggu selepas itu.

Shan dan Angelia tidak menafikan Pannir melakukan kesalahan, dan menyatakan dia terlalu mempercayai orang.
Namun, satu kesilapan sepatutnya tidaklah berakhir dengan hukuman berat.

“Dia boleh dihukum kerana kesilapan yang dia buat. Tetapi bukanlah hukuman mati untuk kesilapan itu … Bagilah peluang kedua untuk bertaubat,” kata Shan dengan perasaan hiba.

HAMPIR KE PENGHUJUNG

Menurut Shan dan Angelia, nasib Pannir kini seakan di awang-awangan. Dia sudah merayu dan permohonan untuk mendapat pengampunan ditolak pada tahun 2019. Harapannya kini hanyalah litigasi sivil secara berterusan.

“Tidak ada hasil positif atau negatif. Nampak macam neutral, sukar untuk diramal sama ada kami akan menang atau kalah,” kata Shan.

Mereka menjangka dapat mengetahui nasib Pannir Selvam pada Februari 2024, apabila Mahkamah Rayuan mengadakan perbicaraan untuk mendengar tuntutan mahkamah yang dikemukakan oleh Pannir Selvam dan 12 lagi banduan hukuman mati yang mencabar Perkhidmatan Penjara Singapura kerana melepaskan surat peribadi kepada Jabatan Peguam Negara tanpa kelulusan banduan.

Tuntutan mahkamah sebelum ini ditolak. Setelah rayuan dikemukakan, pihak mahkamah memohon lebih banyak maklumat.
Menurut mereka, selagi kes itu berjalan, Pannir Selvam tidak boleh dihukum mati. Seandainya Mahkamah Rayuan menolak, tidak dapat dielakkan lagi hukuman mati akan dijalankan.

Ketika litigasi, mungkin secara teknikal melambatkan hukuman mati, pihak mahkamah sebelum ini amat marah dengan sesetengah litigasi yang dibuat di saat-saat akhir kerana mereka menganggap ianya membazir masa.

Sambil menggambarkan keadaan keluarganya yang tertekan bukan sahaja daripada segi fisikal, emosi tetapi juga kewangan, Shan berkata, mereka tidak boleh berputus asa dengan nasib Pannir Selvam.

Mereka mengharapkan satu lagi keajaiban seperti yang berlaku pada tahun 2019 apabila rayuan hukuman matinya yang sepatutnya dijalankan, ditangguhkan pada saat-saat akhir.

“Kami tidak boleh berputus asa. Masih ada harapan,” katanya menambah, apa yang berlaku ini menjadikan hubungan mereka sekeluarga bertambat erat.

Turut menyokong keluarga ini adalah pelbagai kumpulan yang menentang hukuman mati, seperti Transformative Justice Collective yang berpangkalan di Singapura dan Amnesty International.

Di laman sesawangnya, Amnesty International menyatakan tindakan Singapura menggunakan hukuman mati adalah melanggar piawaian serta undang-undang antarabangsa.

“Kesalahan berkait dadah tidak memenuhi ambang ‘jenayah paling serius’ melibatkan pembunuhan dengan niat. Hukuman mati juga dikenakan sebagai hukuman mandatori dan selepas prosiding yang tidak memenuhi piawaian tertinggi perbicaraan yang adil,” katanya.

Rakyat Singapura dilaporkan menyokong hukuman mati untuk pengedar dadah tetapi kajian oleh National University of Singapore pada tahun 2018 mendapati terdapat pengurangan sokongan untuk kes-kes tertentu.

Kajian berkenaan, yang melibatkan 1,500 responden, mendapati satu pertiga menyokong hukuman mati untuk pengedaran dadah.

Namun, apabila dikemukakan senario tertentu, responden menunjukkan “sedikit sokongan untuk hukuman mati untuk kes-kes pengedaran dadah yang biasa dikemukakan di mahkamah”.

Di sebalik perkara ini, peluang untuk Singapura menarik balik hukuman mati adalah tipis dan tiada langsung. Seruan oleh Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah dan aktivis anti hukuman mati, billionaire Richard Branson, dan negara jiran Malaysia untuk pengampunan dan meringankan hukuman, adalah sia-sia sahaja.

Malaysia pada tahun ini telah menghapuskan hukuman mati untuk kesalahan dadah dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Singapura, sebaliknya, bertindak dengan menyatakan hukuman mati untuk kesalahan dadah adalah sebahagian daripada “strategi pencegahan bahaya menyeluruh yang menyasarkan kedua-dua permintaan dan bekalan.”

Setelah hampir sedekad berlalu, semua usaha mungkin berakhir dengan kegagalan. Namun Shan dan Angelia telah menyiapkan diri untuk akur dengan kematian Pannir.

“Sekiranya kami gagal, Pannir beritahu kami jangan bersedih kerana dia menjadi orang yang lebih baik sebelum ini.

“Dia kata, ‘Jangan susah hati kerana awak telah melakukan yang terbaik’,’” kata Shan, sambil cuba tersenyum. Di sisinya, Angela terus mendakap album dengan halaman menunjukkan wajah ceria Pannir sewaktu muda.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)