Keluarga Malaysia Berbudaya Ilmu Dengan ‘Sains Terbuka’

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh: Nor Azzah Momin

Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pada bulan Ogos 2021 yang lalu, telah meletakkan Keterangkuman (Inclusivity) sebagai satu daripada ciri-ciri utamanya. Pendekatan Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif ini bermaksud merentas agama, bangsa, kaum, malah merentas usia, latar ekonomi, pendidikan, lokasi dan pelbagai lagi.

Selain itu, bagi maksud pengkayaan nilai di bawah ciri-ciri Keterangkuman ini digariskan satu daripada Pengkayaan Nilainya adalah “Menerapkankan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga”.

Strategi selaras visi falsafah ‘Keluarga Malaysia’

Strategi untuk menerapkan budaya ilmu ini selaras dengan visi falsafah ‘Keluarga Malaysia’ bertujuan memulihkan Negara yang banyak terkesan disebabkan penularan virus COVID-19 sejak awal 2020, serta hasrat untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Penguasaan ilmu pengetahuan dalam apa saja bidang yang diceburi oleh seseorang amat penting sebagai usaha menyiapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dalam bidang tertentu seterusnya menjadi pakar.

Ilmu yang mendalam serta benar juga diperlukan untuk membantu seseorang membuat keputusan yang tepat dalam memilih tindakan yang ingin diambil. Ini sekaligus menidakkan penerimaan fakta palsu dan tidak disaring bagi dijadikan sandaran dalam menentukan pendirian dan keputusan.

Bagi membolehkan pembudayaan ilmu ini dilaksanakan dengan merentasi semua sempadan yang dinyatakan di atas, masyarakat perlu diberikan kesedaran terhadap konsep Sains Terbuka (Open Science) dalam memberi dan mendapatkan akses terhadap sumber ilmu yang boleh dipercaya dan berautoriti.

Konsep Sains Terbuka diperkenalkan sejak 10 tahun lepas

Konsep ini telah mula digerakkan oleh banyak pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini dengan memperkenalkan konsep Sains Terbuka. Ia merupakan konsep yang mempunyai banyak cabang antaranya Data Terbuka (Open Data), Akses Terbuka (Open Access), dan Sumber Pembelajaran Terbuka (Open Educational Resources).

Pada tahun 2014, Kerajaan telah pun memperkenalkan Portal Data Terbuka yang dapat diakses oleh pelbagai agensi kerajaan serta orang awam melalui pautan laman web www.data.gov.my. Portal ini menjadi ruang kepada masyarakat melihat data dan fakta yang tepat kepada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

MOSP jadi strategi cipta, sebar dan pelihara ilmu untuk manfaat semua

Satu lagi inisiatif yang telah dijalankan adalah pelancaran Platform Sains Terbuka Malaysia (Malaysia Open Science Platform – MOSP), yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada penghujung tahun 2019.

MOSP diharapkan menjadi suatu strategi penting bagi universiti, institusi penyelidikan, perpustakaan dan para penerbit untuk mencapai hasrat mencipta, menyebar, dan memelihara ilmu untuk manfaat seluruh masyarakat tanpa sempadan.

Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula telah menggerakkan Inisiatif Akses Terbuka sejak tahun 2018 sehingga berjaya melancarkan Dasar Akses Terbuka USIM pada 23 Mei 2019, serta membina Sistem Repositori Penyelidikan USIM yang boleh diakses umum bermula pada bulan Jun 2020. Ia membolehkan orang awam mengakses secara percuma kepada semua penulisan warga USIM yang dihasilkan berasaskan penyelidikan.

iQER kemudahan untuk OKU akses maklumat

Terkini, KPT dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah membangunkan Polisi Sumber Pembelajaran Terbuka Inklusif atau Inclusive Open Educational Resources (iOER) khusus bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan telah dilancarkan pada 2 Disember 2021.

Polisi ini bertujuan memberikan kemudahan kepada golongan OKU untuk mengakses, memperoleh dan menggunakan bahan bacaan dan rujukan untuk pembelajaran dan pendidikan secara dalam talian dan terbuka (percuma).

Selain iOER, diharapkan usaha untuk mewujudkan sebuah platform yang dapat membolehkan semua Portal OER yang terdapat di setiap universiti, diakses melalui satu pusat carian sehenti, dapat dijalankan bagi memudahkan pencarian kepada sumber pembelajaran yang lebih pantas.

Ia akan membantu masyarakat mendapatkan dan juga menyumbang bahan-bahan rujukan untuk pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan dengan lebih terbuka, namun dalam masa yang sama ia tetap terkawal dan kesahihannya dapat dipastikan.

Justeru, usaha untuk menerapkan budaya ilmu kepada masyarakat dan keluarga memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak dalam Keluarga Malaysia untuk bertindak sebagai penyedia sumber bahan atau platform. Ia tidak akan berjaya tanpa kerjasama erat semua pihak. Bak kata peribahasa, “Bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat”.

— BERNAMA

Nor Azzah Momin merupakan Ketua Pustakawan di Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )