Keluarga Malaysia: PM, pembangkang setuju wujudkan keadaan lebih kondusif untuk rakyat

Keluarga Malaysia: PM, pembangkang setuju wujudkan keadaan lebih kondusif untuk rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau dan tiga pemimpin utama parti pembangkang dalam satu pertemuan hari ini bersetuju mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ke arah itu, perdana menteri berkata kesemua pemimpin iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, bersetuju peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Usaha sama dengan pihak pembangkang ini disuarakan Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri Ahad lepas, dengan menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Perkara sama sekali lagi disebut Ismail Sabri dalam lawatan kerja sulungnya di Yan, Kedah, pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan lebih sejam hari ini, perdana menteri berkata ia juga tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19.

Ini termasuk dalam menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Ismail Sabri berkata ia juga diadakan bagi menjunjung dan merealisasikan titah hasrat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)