Kematian COVID-19 Di AS kini cecah 270,003

Kematian COVID-19 Di AS kini cecah 270,003

NEW YORK,. Kematian COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mencecah 270,003 manakala kes jangkitan sebanyak 13.6 juta, menurut Johns Hopkins University, lapor agensi berita Xinhua.

New York melaporkan kadar kematian tertinggi iaitu 34,618 diikuti Texas berjumlah 21,946 manakala California, Florida dan New Jersey mencatatkan korban melebihi 17,000.

Sementara, negeri yang mencatatkan kematian melebihi 10,000 termasuk Illinois, Massachusetts dan Pennsylvania.

AS kekal negara paling teruk dilanda pandemik itu, dengan jumlah kes jangkitan dan korban tertinggi di dunia, menyumbang lebih 18 peratus kematian global.

Sebuah institut penyelidikan kesihatan di Universiti Washington mengunjurkan sejumlah 470,974 kematian COVID-19 di AS menjelang 1 Mac 2021.

Jumlah kemasukan hospital mencapai tahap tertinggi sebanyak 96,039, berdasarkan Projek Pengesanan COVID pada 30 November.

Projek itu mendedahkan jumlah kemasukan pesakit ke hospital meningkat dua kali ganda bermula 1 November dan tiga kali ganda sejak 1 Oktober, mungkin menghampiri 100,000 dalam beberapa hari lagi.

Pakar memberi amaran jumlah mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 akan meningkat ke tahap lebih tinggi pada Disember, kerana AS dijangka menyaksikan gelombang jangkitan baharu dalam beberapa minggu akan datang, menjelang perayaan Krismas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )