“Kematian Semek satu kehilangan besar buat saya” – Mowgli Malaysia

“Kematian Semek satu kehilangan besar buat saya” – Mowgli Malaysia

KUALA TERENGGANU,. “Semek yang paling manja, paling memahami perasaan saya waktu sedih atau gembira. Semek yang paling istimewa berbanding lebih 110 kerbau lain, namun sayangnya Semek pergi juga,” kata Muhammad Syukur Khamis.

Semek yang berusia tujuh tahun adalah antara enam lagi kerbau milik keluarga ‘#’ itu yang mati dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia pagi ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kerbau yang direkodkan ialah sebanyak 50 ekor setakat pagi ini.

Lebih menyedihkan bagi remaja yang berumur 15 tahun itu ialah Semek tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit yang ketara berbanding kerbau lain yang mati sebelum ini.

“Selama ni, Semek tak pernah demam atau sakit, saya dah jaga dia selama enam tahun…memang kami sangat rapat kerana Semek mudah ‘dengar kata’, sebab itu saya pilih Semek untuk berlakon dalam telemovie Budok Kuba.

“Memang banyak air mata yang tumpah kerana kematian Semek memang tidak dijangka… kehilangannya lebih pedih berbanding kehilangan kerbau lain seperti Awang (disembelih untuk perkahwinan abangnya tahun lalu), namun saya reda ini semua takdir Allah SWT,” katanya yang kelihatan sugul.

Kematian Semek disedari oleh kakak Muhammad Syukur iaitu Nor Ain Amirah, 20, kira-kira 7 pagi tadi.

Kesedihan keluarga ‘Kampung Boy’ itu yang berdepan episod duka kematian kerbau bermula 9 Sept itu mendapat simpati netizen dan ramai yang mendoakan agar keluarga itu tabah dengan dugaan tersebut.

Mengimbas kembali kenangan terakhirnya bersama Semek, Muhammad Syukur berkata beliau telah mengasingkan Semek bersama anak sulung yang diberi gelaran Along sejak semalam.

“Along telah diberi suntikan antibiotik pada 9 Sept lepas namun suntikan itu tidak boleh diberi kepada Semek kerana ia sedang bunting anak yang kedua.

“Harapan saya tiada lagi kerbau yang akan mati disebabkan penyakit ini kerana kami sedang dalam proses membuat kuarantin untuk kerbau yang masih sihat dengan bantuan JPV (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) Terengganu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)