Kembalikan pengurusan Kontraktor G1 Bumiputera, Kelas F kepada PKK

Kembalikan pengurusan Kontraktor G1 Bumiputera, Kelas F kepada PKK

PUTRAJAYA,. Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) meminta Kementerian Kewangan mengembalikan pengurusan Kontraktor G1 Bumiputera / Kelas F kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Presiden Perkobf Malaysia Tukiman Radion berkata, beliau yakin PKK mampu mengurus 49,000 ahli persatuan itu dengan baik.

“KUSKOP berperanan memperkasakan usahawan Bumiputera dan kami yakin kami akan lebih berdaya saing sekiranya diuruskan oleh KUSKOP berbanding Kementerian Kerja Raya ketika ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Katanya penetapan syarat kenaikan gred secara paksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada kontraktor G1 (Bumiputera) / Kelas F dalam masa tiga atau empat tahun akan datang tidak relevan kepada kontraktor kecil.

“Jika perkara ini benar-benar berlaku, Malaysia akan mengalami lambakan kontraktor G2 dalam pasaran. Kita semua sedia maklum semakin besar gred, semakin banyak modal diperlukan dan semakin sedikit tawaran projek disediakan,” katanya.

Tukiman berkata, pada masa ini, kontraktor G2 berjumlah 14,000 orang dan kontraktor G1 yang dipaksa naik gred sebanyak 26,000 orang.

Mengenai kenaikan harga bahan binaan, beliau meminta kerajaan memantau harga dengan menetapkan harga siling bagi bahan tersebut.

“Kami juga mencadangkan supaya Jadual Kadar Harga sentiasa dikaji supaya harga bahan binaan selaras dengan harga bahan binaan di pasaran semasa,” katanya.

Tukiman berkata kenaikan harga bahan binaan ketika ini berlaku setiap dua minggu sekali sejak berakhir Perintah Kawalan Pergerakan

“Kenaikan harga bahan binaan ini memberi impak yang sangat besar kepada kontraktor kecil seperti kami kerana kami membeli bahan binaan di kedai perkakasan dan bukan secara pukal daripada kilang,” katanya pada perhimpunan aman yang disertai oleh kira-kira 300 ahli Perkobf.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )