Kemenangan cukup bermakna – Dollah

Kemenangan cukup bermakna – Dollah

KUANTAN,. Pengendali Pahang, Dollah Salleh lega kerana anak buahnya berjaya melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Sabah 2-0, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tewas dua perlawanan berturut-turut sudah dipadam untuk kembali meletakkan skuad Tok Gajah pada landasan terbaik.

“Saya amat bersyukur kerana kami akhirnya mengutip tiga mata selepas dikecewakan dengan dua kekalahan sebelum ini. Kemenangan ini sudah pasti menyuntik semangat buat semua pemain yang diharap tampil dengan lebih yakin pada perlawanan keempat nanti.

“Secara keseluruhannya saya gembira kerana pemain begitu bersemangat untuk mengutip tiga mata dan misi itu berjaya dilakukan,” katanya.

Mengulas serangan yang dilakukan Sabah di penghujung perlawanan, Dollah berkata, ia bukannya isu seperti dialami ketika tewas kepada Selangor dan PJ City FC.

Sebaliknya, katanya selepas mendahului 2-0, skuad kendaliannya itu bermain lebih berhati-hati untuk memastikan kemenangan.

“Walaupun sedikit goyah, kita turut memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi ia gagal diterjemahkan. Tapi saya berterima kasih kepada pemain kerana menamatkan perlawanan dengan tiga mata di laman sendiri,” katanya.

Sementara itu pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto tidak menyangka skuadnya akan pulang tanpa mata kerana kunjungan skuad itu dengan misi sekurang-kurangnya mengutip satu mata selepas empat mata diraih dalam dua perlawanan.

“Saya tidak jangkakan kami tewas di sini selepas skuad ini bermain dengan begitu bagus dalam dua perlawanan. Namun, saya akur kami tidak dapat memberi saingan kepada Pahang terutama berdepan dua pertahanan yang tinggi lampai iaitu Herold Goulon dan Khalil Khamis.

“Corak permainan yang dipersembahkan bukannya karektor sebenar pasukan Sabah dan sudah pasti kekalahan ini cukup mengecewakan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, anak buahnya perlu bangkit untuk membentuk kembali persefahaman lebih mantap jika mahu terus bersaing.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )