Kementerian Luar Malaysia, China ulangi komitmen kukuhkan lagi hubungan dua hala

Kementerian Luar Malaysia, China ulangi komitmen kukuhkan lagi hubungan dua hala

KUALA LUMPUR,. Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, mengukuhkan lagi kesepakatan dalam pelbagai isu penting hasil mesyuarat dua hala yang diadakan di sini, pada Selasa.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua menteri itu mengulangi komitmen menyuburkan lagi hubungan yang dibina di atas dasar kesaksamaan dan saling hormat menghormati serta kerjasama menang-menang, menyerlahkan kaitan sejarah kukuh dan hubungan diplomatik selama 46 tahun yang menyatukan kedua-dua negara.

Kedua-dua menteri juga mengetengahkan kepentingan mengukuhkan lagi permuafakatan antarabangsa. Mereka menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan kolaborasi, di bawah kepemimpinan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam memerangi wabak COVID-19.

Menerusi kenyataan bersama itu, Hishammuddin dan Wang gembira dan saling menghargai sokongan serta bantuan antara Malaysia dan China yang terbina ketika memerangi wabak COVID-19.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk merangka Memorandum Persefahaman (MoU) dalam mengukuhkan kerjasama Malaysia-China bagi meningkatkan lagi keberkesanan menangani COVID-19 dan tempoh selepas wabak itu serta membentuk sebuah Jawatankuasa Kerjasama Peringkat Tinggi Selepas Wabak Malaysia-China.

“MoU dan Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh kedua-dua Menteri Luar, akan menyuburkan lagi kerjasama lebih prakmatik dalam mendepani cabaran selepas wabak, serta kerjasama dalam pelbagai bidang lain seperti sosial, ekonomi dan bidang saintifik. Berikutan itu, kedua-dua pihak berharap MoU ini dapat dimeterai secepat mungkin,” menurut kenyataan bersama itu.

Mengenai pembangunan dan usaha mendapatkan vaksin COVID-19, ia menyatakan, Malaysia menyambut baik komitmen China menyediakan vaksin yang dibangunkan China, sebaik saja ia dihasilkan, yang disifatkan sebagai “barangan keperluan awam global” mudah dan murah kepada negara jiran.

China turut menegaskan, ia akan membekalkan vaksin COVID-19 kepada Malaysia sebagai yang diletakkan dalam senarai penerima utama sebaik saja ia dibangunkan dan didaftarkan di China dan kedua-dua menteri luar itu berharap mereka akan menandatangani Perjanjian Kerjasama dalam Pembangunan dan Pembekalan Vaksin.

Menyedari wabak itu bukan saja mencetuskan krisis kesihatan tetapi turut menjejaskan ekonomi, menjadi ancaman serius terhadap keselamatan makanan, kedua-dua belah pihak bersetuju berganding bahu dan akan bersama dengan negara lain ke arah memastikan penerusan sistem pengangkutan bekalan makanan, menyokong usaha Pertubuhan Pertanian dan Makanan Dunia (FAO) serta agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lain dalam mengukuhkan lagi keselamatan makanan, menangani ancaman terhadap kerapuhan keselamatan makanan serta berkerjasama meneguhkan aspek itu menerusi pelbagai langkah strategik.

Kenyataan itu menyatakan, kedua-dua menteri turut bersetuju untuk meneruskan perbincangan bagi saling mempermudahkan perjalanan rentas sempadan membabitkan ahli perniagaan dan pegawai tinggi Malaysia dan China dengan memastikan segala langkah kawalan kesihatan dipenuhi.

Perkara berkenaan penting bagi menyemarakkan dagangan dan kerjasama pelaburan dua hala untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi peringkat nasional dan wilayah. Selain itu kedua-dua pihak turut bersetuju meneroka kerjasama mewujudkan laluan hijau dalam memastikan kestabilan, keselamatan industri dan rantaian bekalan.

Kedua-dua menteri itu juga bersetuju meningkatkan lagi kerjasama berkualiti tinggi dan bermanfaat di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )